TUMPAT, 9 Nov – Masyarakat Siam di Kelantan yang sebelum ini menjadi penyokong setia parti Barisan Nasional (BN), kini mula menunjukkan perubahan dalam kalangan mereka yang dilihat semakin terbuka menerima Perikatan Nasional (PN).

Ia terbukti apabila baru-baru ini, ketua-ketua komuniti Siam menghadiri perjumpaan dengan calon PN Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi.

Mumtaz berkata, berdasarkan perkembangan yang berlaku sekarang, sudah ada perubahan dalam kalangan masyarakat Siam yang semakin menunjukkan potensi menyokong Pas dan PN.

“Kita melihat mereka semakin berminat bersama PN. Mereka mahu gandingan yang mantap di peringkat negeri dan parlimen demi kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya pada sidang media di Pusat Media PRU-15 PAS Kelantan, pada Selasa, lapor Harakah Daily.

Beliau yang juga anggota Exco kerajaan negeri menegaskan bahawa perkembangan positif yang berlaku itu memperlihatkan ada gelombang PN di Tumpat sekarang.

“Mereka tertarik dengan slogan yang dibawa PN iaitu Prihatin-Bersih-Stabil (BEST) yang dilihat berbeza dengan BN sebelum ini,” tambah beliau.

Mengulas lanjut, ujar Mumtaz, masyarakat Siam sangat terbuka dan akan melihat siapakah yang boleh tawarkan kepada mereka pembangunan dan kestabilan.

“Kita melihat ini satu perkembangan baharu, yang mana masyarakat Siam di Kelantan mudah menerima PN walaupun mereka mengenali BN sejak sekian lama,” katanya.