SHAH ALAM, 9 Nov – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah menubuhkan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Taman Sri Muda, malam ini sebagai persediaan sekiranya berlaku banjir.

PKTK berkenaan diurus oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dan dibantu Ibu Pejabat Daerah (IPD) Shah Alam.

Ia turut membabitkan Pegawai Daerah (Pejabat Daerah dan Tanah), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), ketua kampung, komuniti dan agensi berkaitan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, berkata PKTK ditubuhkan berasaskan amaran awal Jabatan Meteorologi (METMalaysia) serta data yang diberikan agensi berkaitan.

“Ia adalah usaha proaktif Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah selepas melihat pengalaman pada Disember 2021.

“Saya gembira kerana pengurusan bencana perlu diurus secara pantas untuk mengurangkan risiko bencana dan mudarat yang mungkin berlaku,” katanya pada sidang media selepas meninjau PKTK di Taman Sri Muda, malam ini.

Dr Abdul Latiff berkata, JPS menempatkan 11 pam di seluruh Selangor yang mana lapan di Taman Sri Muda manakala selebihnya di Sepang dan Kuala Langat.

Katanya, JPS juga akan menyewa empat pam daripada Kumpulan Semesta Sdn Bhd iaitu anak syarikat kerajaan negeri.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Hafisham Mohd Noor, berkata PKTK itu akan dibuka 24 jam bergantung kepada keadaan cuaca.

“Ia mula beroperasi jam 8 malam tadi dengan kekuatan tujuh pegawai dan anggota. Kita juga menempatkan lima bot di sini sebagai persediaan.

“Seramai 26 lagi anggota bersiap siaga di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam sekiranya berlaku banjir malam ini,” katanya.