BUTTERWORTH, 9 Nov – Perikatan Nasional (PN) mempunyai ejen khas yang akan membuat penyelidikan sekiranya terdapat laporan ada ahli daripada gabungan itu yang berkempen untuk parti lain dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata beliau sudah mengeluarkan kenyataan semalam berhubung mana-mana ahli dari komponen parti itu yang berkempen selain daripada PN akan berdepan tindakan pengguguran.

Katanya, tindakan pengguguran akan diambil selepas semua bukti diperoleh disahkan benar daripada ejen khas yang turun membuat penyelidikan.

“Semalam kita sudah keluarkan kenyataan bahawa calon, penyokong dan pencadang PN yang berkempen untuk parti lain, selain PN akan tergugur keahlian mereka.

“Perkara ini (kempen untuk parti lain) kita akan kesan melalui semua laporan yang datang daripada ketua-ketua dan pengerusi PN di negeri masing-masing.

“Bila tahu siapa, ada bukti, selepas itu ejen-ejen akan turun untuk selidik dan apabila telah dibuktikan betul baharu kita akan mengambil tindakan (menggugurkan ahli),” katanya ketika ditemui pemberita ketika bertemu pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Senangan, di sini, pada Selasa.

Hadir sama, calon PN Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Terdahulu, PAS parti gabungan PN memberi amaran kepada ahlinya supaya tidak terbabit termasuk membantu berkempen bekas Ahli Parlimen parti itu yang bertanding menggunakan tiket parti lain pada PRU15.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, ahli parti yang didapati melakukan perkara itu akan dikenakan tindakan tatatertib mengikut perlembagaan parti termasuk boleh dipecat.

Menurutnya, berdasarkan Perlembagaan PAS, ahli yang didapati membantu calon yang bertanding di bawah tiket parti lain dianggap melanggar disiplin dan tatatertib parti.

Ini kerana, mereka dianggap melakukan tindakan yang menyalahi atau merugikan kepentingan PAS.