JERANTUT, 9 Nov – Perikatan Nasional (PN) membuat 12 tawaran di Pahang, dengan sebahagian besarnya merujuk pada keperluan ekonomi negeri itu, dalam usaha menawan kubu kuat Barisan Nasional (BN) berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Manifesto PN Pahang bertemakan ‘Pahang Berkat Makmur Sejahtera’ itu, merangkumi inisiatif yang komprehensif dan meletakkan agama sebagai inti pati pertama.

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, yang membentangkan manifesto itu berkata, PN akan memastikan tadbir urus yang berintegriti dan cekap, selain memberi tumpuan pada kecemerlangan pendidikan.

“Pelbagai inisiatif dan pelan bakal dilaksanakan bagi membolehkan setiap penduduk Pahang mendapat peluang pendidikan terbaik,” katanya pada majlis pelancaran Manifesto PH Pahang, yang disempurnakan Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang, di sini, malam tadi.

Saifuddin berkata, menerusi tawaran itu, PN juga akan memartabatkan belia dan warga emas, memberi sokongan pengajian kepada anak Pahang, selain menyediakan bantuan perkahwinan.

Selain itu, beliau berkata, PN komited untuk merancakkan sektor pelancongan dan kebudayaan negeri Pahang untuk menarik minat pelancong, sekali gus meningkatkan ekonomi negeri Pahang.

“Dengan keindahan alam semula jadi, Taman Negara, pantai, pulau, gunung-ganang dan banyak tempat menarik, PN komited untuk merancakkan sektor pelancongan negeri ini.

“Namun, untuk mencapai objektif ini, kelestarian alam sekitar perlulah diberi perhatian. Usaha pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar akan dipergiat untuk memastikan kelestarian jangka masa panjang,” katanya.

Tambahnya, untuk melaksanakan semua aspirasi terbabit, PN perlu terlebih dulu menawan Pahang dan menjadikan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Menteri Besar negeri itu.