KOTA TINGGI, 9 Nov – Pengarah Jabatan Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Johor, Rasman Ithnain mempersoalkan sumbangan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang dilihat tidak mempedulikan pembangunan di Kota Tinggi.

Beliau yang juga Ketua Bahagian BERSATU Kota Tinggi mendakwa, apa yang lebih menonjol cuma taburan janji yang dibuat oleh Naib Presiden UMNO itu semasa menjadi Menteri Besar Johor.

“Janji-jani yang pernah diutarakan Khaled sebelum ini juga masih belum ditunaikan, namun, dalam masa sama masuk Kota Tinggi untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Beliau tidak pernah prihatin dan peduli terhadap penduduk apatah lagi soal pembangunan di Kota Tinggi. Misalnya, isu bekalan air di daerah ini dan keperluan lot tanah perumahan generasi kedua langsung tak dipedulikan ketika itu.

“Janji beliau untuk naik taraf Masjid Tanjung Sedili juga hanya omong kosong. Janji untuk bagi geran hak milik satu ekar tanah setiap seorang di Kampung Tuan Seh juga hanya tinggal janji.

“Bila nak bertanding PRU15, beliau (Khaled) sekali lagi tabur janji untuk buat perubahan di Kota Tinggi sedangkan janji yang lama masih belum ditunaikan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat PN Kota Tinggi, di sini, lapor Astro Awani.

Beliau berkata, tindakan Khaled bertanding pada kali ini hanya sebagai ‘batu loncatan’ buat beliau untuk menghidupkan kembali karier politiknya setelah tewas beberapa kali sebelum ini.

Selain itu, Rasman berpendapat, sudah tiba masanya untuk penduduk di Kota Tinggi mendapatkan pemimpin wajah baharu bagi membela nasib rakyat yang tidak mempunyai sebarang perubahan untuk tempoh lima tahun lalu.