KANGAR, 9 Nov – Usaha menyelamatkan nyawa lebih 30 juta rakyat Malaysia ketika negara berdepan pandemik Covid-19, adalah bukti keprihatinan Kerajaan Perikatan Nasional, walaupun ketika itu UMNO dan Pakatan Harapan bergabung mendakwa kerajaan gagal.

Sebaliknya, terbukti di atas usaha dilakukan kerajaan diterajui Perikatan Nasional ketika itu, kini rakyat kembali dapat melakukan pelbagai usaha menyambung semula aktiviti yang terputus ketika sekatan pandemik dilakukan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata antara usaha dilakukan kerajaan pimpinannya ketika itu adalah membeli seberapa banyak yang boleh vaksin Covid-19 untuk diberikan kepada rakyat.

“Jangan lupa vaksin datang daripada sumbangan dan usaha keras kerajaan Perikatan Nasional.

“Itu satu bab mengenai kehidupan… mengenai berapa banyak nyawa yang hendak kita selamatkan.

“Berapa nyawa kita selamatkan… lebih 30 juta rakyat Malaysia kita (Kerajaan Perikatan Nasional) selamatkan,” katanya berucap pada program ‘Santai petang bersama TSMY’ di Arau, Perlis, pada Selasa.

Hadir sama calon Perikatan Nasional Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim dan Mursyidul Am PAS Datuk Hashim Jasin.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mengajak rakyat Perlis supaya mengundi Perikatan Nasional supaya pentadbiran kerajaan negeri diambil alih dan meletakkan calon PAS sebagai Menteri Besar, selepas 19 November ini.

“Jadi sebaik mungkin adalah, kita berjuang habis-habisan atau sampai penghujung PRU ini dengan harapan memperolehi sokongan besar dari pengundi agar berjaya membentuk kerajaan,” katanya.

Menurutnya Perikatan Nasional menerusi manifesto bertemakan PN BEST, menawarkan janji yang boleh dilaksanakan dalam tempoh lima tahun untuk kesejahteraan pelbagai peringkat masyarakat.

“Tidak ada seorang pun lapisan masyarakat yang dikecualikan dalam manifesto Perikatan Nasional,” katanya.