BATU KURAU, 9 Nov – Penyandang Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan seorang daripada pencabarnya di kerusi itu Mohd Shafiq Fhadly Mahmud sebagai ‘belum matang’ dan tiada kebijaksanaan untuk memimpin negara.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) berkata demikian mengulas kenyataan Shafiq sebelum ini yang mahu tunjukkan ‘jalan keluar’ kepada Hamzah selepas PRU-15.

“Nak usir saya buat apa, jika perjuangan kita hanya untuk mengusir orang semata-mata, itu tak betullah.

“Jikalau saya menang sekali pun, saya akan panggil dan akan maklumkan padanya bagaimana nak pimpin negara jika hanya dengan cara nak usir orang?

“Itu bermakna dia tidak ada kebijaksanaan untuk menjadi pemimpin,” katanya dalam program ziarah Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Bertam, di sini.

Sebelum ini media melaporkan Shafiq yang dipertaruhkan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Larut sebagai berkata, beliau yakin pengundi di kawasan itu akan memberi sokongan kepadanya kerana Larut adalah kubu kuat BN.

Dalam PRU15, Hamzah akan berdepan saingan empat penjuru daripada BN (Shafiq), Pejuang dan Pakatan Harapan.