JELI, 9 Nov – Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Jeli, Zahari Kechik menyifatkan undi yang berikan kepadanya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disifatkan sebagai tanda sokongan kepada penyandang kerusi berkenaan, Datuk Seri Mustapa Mohamed atau Tok Pa yang membuat keputusan untuk tidak bertanding.

Zahari berkata, kemenangan itu amat penting bagi membolehkannya meneruskan legasi yang telah dibawa oleh Tok Pa sebelum ini.

Menurut beliau, ia merangkumi program pendidikan, agama dan pembangunan bagi memastikan rakyat di Parlimen itu terus mendapat manfaat pada penggal akan datang sebagaimana amanah Tok Pa.

“Saya juga akan memberikan tumpuan kepada pembangunan ekonomi mikro di kawasan ini yang melibatkan anak muda, penjaja kecil, pemandu kereta sewa, penoreh getah, pekebun dan penduduk kampung.

“Pembangunan ekonomi Tok Pa dah buat sebelum ini, cuma saya kena tekankan dari sudut ekonomi mikro bagi memastikan semua golongan menerima limpahan dan manfaat secara bersama,” katanya semasa turun padang bertemu pemandu kereta sewa di sini pada Rabu.

Tambah beliau, walaupun Tok Pa tidak bertanding pada PRU15 namun dirinya boleh dianggap sebagai mewakili ‘figura’ itu.

Katanya, kehadiran Tok Pa yang memberikan sokongan dengan turun berkempen secara bersama menjadi kekuatan untuknya terus berusaha mendekati pengundi.

Mengulas mengenai peluang PN di Jeli, Zahari berkata, beliau optimis rakyat akan memberikan sokongan kepadanya kerana jenama Tok Pa sangat dekat di hati.

“Saya yakin rakyat di Jeli bijak membuat pilihan dan pastinya mereka akan menyokong individu yang mampu memberikan khidmat terbaik kepada penduduk di kawasan ini.

“Saya perlu mendekati semua rakyat Jeli bagi memastikan kemenangan mutlak menjadi milik PN. Pesanan Tok Pa kepada saya, kalau mahu menang kita perlukan sokongan daripada semua orang,” katanya.

Pada PRU15 Zahari bakal berdepan tentangan tiga lagi calon iaitu Dr Muhammad Daud (GTA-Pejuang), Norwahida Patuan (BN) dan Md Radzi Wahab (PH).