KUALA LANGAT, 10 Nov – BERSATU keluar dari Pakatan Harapan (PH) bukan satu tindakan pengkhianat, tegas Ketua Srikandi BERSATU Malaysia, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Sebaliknya, kata calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Sepang itu, langkah itu diambil kerana mahu menyelamatkan agama, bangsa dan negara.

Dakwanya, ketika PH menjadi kerajaan, ia dilihat tidak mesra kakitangan kerajaan dan rakyat berbilang kaum, sekali gus menyebabkan BERSATU turut terpalit dengan persepsi berkenaan.

“Kerana itulah, BERSATU ini, dalam tempoh 22 bulan, bukan sahaja tidak mesra kakitangan kerajaan, juga tidak mesra antara kaum sesama kita.

“Pilihan raya kita lima tahun sekali, tetapi dalam setahun, kita sambut pelbagai hari yang ada cuti umum. Kerana apa? Kerana kita di Malaysia masyarakatnya berbilang kaum.

“Keluar PH ini bukan kerana (kita) pengkhianat, tetapi kerana nak menyelamatkan agama, bangsa dan negara. Kalau kita tak keluar, mungkin kita tak duduk sepentas seperti hari ini.

“Ada banyak rahmatnya di sebalik apa yang berlaku,” katanya semasa Ceramah Pentas PRU-15 PN Kuala Langat di sini semalam.

Dalam pada itu, Rina berkata, beliau memilih untuk bertanding di Sepang kerana berasal dari kawasan Parlimen itu dan sedia berkhidmat untuk pengundi di situ.

“Saya sebelum ini adalah Ahli Parlimen Titiwangsa. Ada yang tanya, lari dari Parlimen Titiwangsa? Ini saya nak cakap, saya asal Sepang.

“Ibu saya lahir di Sepang, datuk saya imam Masjid Salak Tinggi. Memang asal Sepang.

“Sebab itu saya menawarkan diri di Sepang. Saya harap semua dapat bantu saya untuk saya terus bantu rakyat Sepang,” ujarnya.