LARUT, 10 Nov – “Buat apa nak isytihar harta jika hanya nak sedapkan waktu berkempen je.”

Demikian jawapan Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berhubung beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Mujahid Yusuf Rawa yang mengisytiharkan hartanya hari ini.

Beliau berkata, jika dilihat semasa pelantikan Kabinet terdahulu, dia bersama jemaah menteri dan timbalan ketika itu sudah pun membuat pengisytiharan harta.

“Masa Tan Sri Muhyiddin Yassin jadi Perdana Menteri dulu, kita sudah isytiharkan semua harta pemegang jawatan.

“Jadi tak payahlah nak tunjuk hero pada kali ini. Kita sudah lakukan dah lama dah, cuma dulu-dulu masa BN (Barisan Nasional) pun dah buat, cuma kita tak umumkan.

“Jika mereka (PH) isytihar harta, bermakna merekalah yang mengikut kita yang telahpun buat perkara itu terlebih dahulu,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Kampung Sungai Jernih, Kubu Gajah, Selama, di sini, hari ini.

Ditanya adakah beliau mahu mengekalkan jawatan sebagai menteri sekiranya PN menjadi kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini, Hamzah menegaskan perkara itu tidak perlu berebut dan akan membahagikan secara adil dan saksama demi kepentingan rakyat serta masa depan negara.