KUALA LUMPUR, 10 Nov – Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengetuai Perikatan Nasional (PN) disifatkan tokoh paling dipercayai dalam satu kajian dilakukan oleh Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Kajian bertajuk ‘Sentimen Masyarakat terhadap Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Malaysia’ tersebut menunjukkan Presiden BERSATU itu memperoleh 20 peratus berbanding tokoh-tokoh lain.

Tokoh kedua paling dipercayai menurut kajian itu adalah Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperoleh 19.2 peratus.

Menariknya, walaupun kini dihukum penjara, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih lagi disifatkan antara tokoh paling dipercayai dan beliau menduduki tempat ketiga di belakang Muhyiddin dan Anwar.

Najib memperoleh 11.3 peratus dalam bancian yang dilakukan terhadap 2,716 responden dari 6 September hingga 5 November 2022 itu.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pula merupakan tokoh keempat paling dipercayai dengan memperoleh 10.3 peratus manakala Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad di tempat kelima (10.2 peratus).

Naib Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula menduduki tempat keenam dengan 9.5 peratus.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merupakan satu-satunya tokoh wanita dipercayai yang termasuk dalam senarai berkenaan dan beliau memperoleh 5.9 peratus.

Tokoh-tokoh lain adalah Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal 1.4 peratus; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu (1.3 peratus); Pengerusi DAP, Lim Guan Eng (1.3 peratus); Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (0.8 peratus), Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran (0.2 peratus) dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (0.1 peratus).