LARUT, 10 Nov – PKR didakwa sengaja mahu calonnya kalah di Parlimen Bagan Datuk dengan meletakkan Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin untuk berdepan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Dakwaan itu dibuat Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Calon PN bagi kerusi Parlimen Larut.

“Dia (Anwar Ibrahim) hantar Shamsul ke Bagan Datuk semata-mata kerana nak tentukan Shamsul kalah dan dia tiada lagi dalam parti sebab Shamsul ni dikatakan pengikut Azmin (Ali) waktu dulu,” katanya selepas beramah mesra dengan penduduk Bukit Bertam di Larut.

Katanya, Anwar sengaja mencari jalan menguburkan karier politik pemimpin parti yang tidak sehaluan dengannya.

“Itulah jenis orang yang ada…mencari jalan supaya pancung calon-calon yang mereka rasakan tak boleh bersama mereka. Itu bukan agenda perjuangan sebenar.”

Hamzah tidak menolak kemungkinan PKR dan UMNO meletakkan calon demi kepentingan peribadi presiden masing-masing.

Parlimen Bagan Datuk menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan Zahid, Shamsul, calon PN, Muhammad Faiz Na’aman serta calon Bebas, Mohamed Tawfik Ismail.

Shamsul pernah diberi gelaran ‘Giant killer’ selepas mengalahkan bekas Ketua Menteri Melaka di kerusi Parlimen Bukit Katil pada PRU 2013 dan berjaya mempertahankan kerusi itu pada 2018 ketika ditukar nama kepada Hang Tuah Jaya.

Dalam perkembangan lain, Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, tindakan merosakkan bahan kempen kerap berlaku semasa tempoh berkempen, terutama di lokasi ‘panas’.

“Perkara tidak amanah sentiasa berlaku dalam PRU, tetapi bukan semua tempat…ada tempat ganas, ada tempat bertembung sehingga mereka sanggup melakukan perkara bukan-bukan.

“Kita serahkan kepada agensi untuk ambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan,” katanya lapor Free Malaysia Today (FMT).

Semalam, calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Segambut, Hannah Yeoh memuat naik gambar tiga poster serta banting miliknya yang digantung di tepi jalan Taman Tun Dr. Ismail serta Bandar Utama dikoyak dan digunting individu tidak bertanggungjawab.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan susulan laporan dibuat semalam.