KUALA LANGAT, 10 Nov – Kajian risikan terbaharu menunjukkan Perikatan Nasional (PN) sudah jauh ke hadapan meninggalkan parti lawan untuk meraih sokongan pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sokongan itu berdasarkan kepada manifesto ditawarkan PN yang dilihat jauh lebih baik dan prihatin rakyat secara keseluruhannya.

Menurut beliau, rakyat juga melihat calon PN ditampilkan pada PRU15 terdiri dalam kalangan mereka yang tidak terpalit dengan amalan rasuah dan salah guna kuasa.

“Terbukti dalam tempoh dua tahun PN diberi tanggungjawab memerintah negara, kita telah berjaya mengangkat martabat umat dan rakyat.

“Mereka (rakyat) ingin melihat PN kembali ke Putrajaya untuk meneruskan usaha ini dan saya yakin dan percaya dengan kepimpinan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Insya-ALLAH PN akan dinobatkan sebagai kerajaan Persekutuan di Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Pentas PRU15 PN Kuala Langat di Kampung Kanchong Darat di sini pada malam Rabu.

Mohamed Azmin yang juga calon PN Parlimen Gombak memberitahu, manifesto yang dilancarkan PN tiga hari lalu itu memberikan pelbagai tawaran kepada rakyat Malaysia.

Jelas beliau, PN telah menyediakan tawaran besar dalam sektor ekonomi, pendidikan dan juga pelbagai inisiatif lain sebagai tanda kepedulian dan keprihatinan parti itu kepada umat dan rakyat Malaysia.

Beliau memberitahu, PN mengangkat tema besar iaitu prihatin, bersih dan stabil, namun ada rakyat mungkin keliru dengan manifesto yang turut ditawarkan parti lain.

“Bagi saya jawapannya mudah kerana pendirian yang diambil PN tidak sama dengan pendirian di sebelah sana.

“Mereka bicara soal bersih, reformasi tetapi lihat sahaja ada dalam kalangan calon mereka sedang turun naik mahkamah, bergelumang dengan rasuah dan salah guna kuasa.

“Malah mereka tidak langsung berasa malu untuk mengemukakan kertas penamaan calon pada 5 November lalu,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamed Azmin menjelaskan, parti lawan tidak mempunyai komitmen dan kesungguhan untuk membentuk sebuah kerajaan bersih dan prihatin rakyat berbanding dengan apa ditawarkan PN pada masa ini.

Mohamed Azmin berkata, rakyat juga diingatkan bijak dalam memilih pemimpin dan sudah tentu calon dikemukakan PN terdiri dalam kalangan mereka bersih daripada gejala rasuah serta tidak pernah didakwa di mahkamah.

“Walaupun tempoh pentadbiran PN singkat, inilah yang harus diberikan pertimbangan (pengundi) kerana pemimpin PN sewaktu memerintah negara mempunyai wawasan jauh dan berfikiran panjang serta bergabung tenaga untuk membentuk kerajaan kuat, bersih dan stabil demi umat dan rakyat kesemuanya,” jelas beliau.