KUALA BERANG, 10 Nov – “Saya anggap itu provokasi politik yang sengaja direka-reka untuk melemahkan keperibadian dan mengeruhkan hubungan baik saya dengan pimpinan dan penyokong PAS”.

Demikian reaksi Datuk Rosol Wahid, penyandang kerusi Parlimen Hulu Terengganu yang juga calon Perikatan Nasional (PN) terhadap kenyataan bekas Ahli Parlimen Besut, Tan Sri Idris Jusoh.

Menyifatkan tuduhan bekas Menteri Besar Terengganu itu kerana tiada modal kempen untuk menyerang keperibadiannya, Rosol berkata, beliau tetap menghormati Idris sebagai ‘sifu’ yang banyak mengajarnya untuk menjadi pemimpin dan menguruskan kerjaya di pentas politik.

Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu itu memaklumkan, Idris juga antara individu yang maklum dan merestui penghijrahannya dari UMNO untuk menyertai BERSATU.

“Saya tetap hormat beliau sebagai seorang yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya mengenai politik, namun untuk mengatakan saya berjiwa UMNO walaupun bersama PAS (komponen PN), itu hanyalah satu provokasi politik.

“Sekarang saya nampak pihak lawan tiada isu untuk menyerang dan melemahkan saya, sama ada rasuah atau salah guna kuasa, tak bermoral atau main projek. Setakat ini Alhamdulillah sejak menceburkan diri dalam politik pada 1999, saya tidak terpalit sebarang isu seumpamanya.

“Jadi parti lawan terpaksa mencari-cari isu untuk melemahkan saya,” katanya ketika ditemui di Dewan Sivik Ajil, di sini.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada seluruh kepemimpinan dan jentera parti yang memberikan sokongan kuat bagi memastikan kemenangan PN pada PRU-15.

Selasa lalu, portal memetik Idris meminta orang PAS lebih baik berhati-hati dengan Rosol yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha UMNO Terengganu kerana Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu adalah individu yang berjiwa UMNO.

Atas sebab itu, Idris yang menjadi Menteri Besar Terengganu pada 2004 hingga 2008 melihat PN sukar untuk memenangi kerusi Parlimen Hulu Terengganu pada PRU15 ditandingi bekas EXCO kerajaan negeri di bawah pentadbiran UMNO itu.

Mengenai perkembangan kempennya, Rosol berkata, sejak bermula kempen Sabtu lalu, beliau sudah menemui 50 peratus pengundi di empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Hulu Terengganu, iaitu Ajil, Kuala Berang, Manir dan Telemong.

“Alhamdulillah, sepanjang saya turun berkempen, termasuk ke lubuk UMNO sokongan amat kuat dan saya lihat mereka bersama dengan saya, insya-Allah. Saya nampak akar umbi menyokong kesepaduan dan menunjukkan kebersamaan yang jitu terhadap PN.

“Sokongan dan semangat ditunjukkan akar umbi termasuk yang di atas pagar dan tidak berparti, mereka semua mengharapkan perpaduan dan kesatuan parti-parti Melayu. Itu mesej yang saya terima setakat ini.

Rosol satu-satunya calon BERSATU mewakili PN bertanding kerusi Parlimen di Terengganu pada PRU15 menggunakan lambang PAS, manakala tujuh lagi kerusi Parlimen ditandingi wakil PAS.