PAGOH, 11 Nov – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan tidak bijak apabila menggunakan taktik mengaitkan kes kematian akibat Covid-19 dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berceramah sempena kempen Pilihan Raya Umum (PRU) di Johor.

Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, Anwar cuba menjadikan perkara itu kononnya bagi menunjukkan kelemahan Muhyiddin mentadbir negara.

“Pandangan saya sebenarnya itu komen yang kurang bijak kerana bukan hanya Malaysia yang dilanda Covid-19 dan mengalami krisis kesihatan. Tetapi seluruh dunia.

“Memang kita ada SOP daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Bila Covid-19 tinggi semua kena duduk di rumah, tak boleh bekerja.

“Kes kematian kerana Covid-19, kita kena bandingkan dengan negara-negara lain, adakah kita yang paling tinggi, adakah kita (negara) yang paling ramai orang meninggal,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Utama Perikatan Nasional (PN).

Beliau ditanya pemberita mengenai tindakan Anwar yang menyerang Muhyiddin menggunakan isu berkenaan ketika membantu kempen calon PH, Onn Abu Bakar di Batu Pahat, kelmarin.

Mengulas lanjut, Sahruddin berkata, Malaysia merupakan negara yang terbaik di dunia dalam menangani masalah Covid-19 ketika di zaman Muhyiddin berbanding dengan negara-negara lain.

Beliau memberikan contoh seperti di China sehingga kini masalah yang berlaku masih ada sehingga sesetengah kawasan di negara itu masih lagi disekat.

Bagaimanapun, beliau berkata atas kebijaksanaan Muhyiddin mentadbir negara sebelum ini, Malaysia berjaya membawa keluar masalah itu daripada berterusan.

“Bagi saya Datuk Seri Anwar tidak bijak bila dia sebutkan perkataan itu, memang sangat-sangat tidak bijak.

“Kita apa pun bila mengatur negara ini, kita akan berbincang, kita akan tanya ketua-ketua jabatan dan profesional macam mana kita nak menangani kes Covid-19, macam mana kita nak membangunkan negara ini dengan lebih baik,” katanya