LABUAN, 11 Nov – Perikatan Nasional (PN) Labuan melancarkan manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan mengetengahkan tujuh perkara dengan tumpuan kepada melonjakkan pembangunan ekonomi pulau ini.

Ketua Bahagian BERSATU Labuan, Datuk Suhaili Abd Rahman berkata, ia akan melengkapkan manifesto gabungan itu di peringkat Persekutuan.

“Kami sedang melihat untuk meningkatkan peranan Pusat Kewangan dan Perniagaan Antarabangsa Labuan dan menjadikannya lebih berdaya saing,” katanya ketika melancarkan manifesto itu di sini malam Khamis.

Beliau berkata, tumpuan pertama ialah memulihkan semula Hab Halal Labuan yang terbiar lama sedangkan pada awalnya ia direka bentuk bagi menjana peluang pekerjaan dan perniagaan untuk orang tempatan.

“Tumpuan lain ialah untuk menambah baik kemudahan telekomunikasi dan jalan raya sekitar pulau ini termasuk di kawasan kampung,” katanya.

Suhaili berkata, status Labuan sebagai sebuah pulau bebas cukai perlu diberi perhatian.
“Penduduk mengadu mengenai kenaikan harga dan bekalan barangan yang terhad di kedai bebas cukai … kami hanya dapat harga coklat dan minuman beralkohol yang murah sementara yang lain adalah lebih tinggi daripada bandar-bandar yang bukan bebas cukai,” dakwanya.

Bekas Ahli Parlimen Labuan itu berkata, tumpuan lain manifesto itu ialah melonjakkan sektor pelancongan pulau ini dengan kemudahan dan produk pelancongan seperti taman tema air.

Suhaili juga berkata, pembangunan sukan juga tersenarai dalam manifesto itu dan menekankan keperluan untuk menambah baik kemudahan dan membina prasarana sukan yang baharu.

Beliau berkata, kebajikan nelayan di pulau ini perlu dijaga dengan pelbagai skim bantuan akan dimudah cara selain menambah baik kemudahan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

“Masih ada lagi pesakit di pulau ini yang memerlukan rawatan terpaksa ke Kota Kinabalu dengan kos yang lebih tinggi dan isu ini perlu diselesaikan,” katanya.

Suhaili berhadapan pertandingan enam penjuru bagi merebut kerusi Parllimen Labuan menentang penyandangnya Datuk Rozman Isli daripada Parti Warisan, Datuk Bashir Alias (Barisan Nasional), Datuk Dr Ramli Tahir (Pakatan Harapan), Dayang Rusimah @ Raynie Datuk Mohd Din (Parti Bangsa Malaysia) dan Datuk Seri Ramle Mat Daly (Parti Pejuang Tanah Air).