PUTRAJAYA, 12 Nov – Jabatan Imigresen dijangka mampu memungut hasil lebih RM5 bilion menjelang akhir tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata hasil itu diperoleh melalui kutipan pembayaran perkhidmatan yang ditawarkan jabatan itu serta kaedah pengurangan kos perbelanjaan.

Beliau berkata, sasaran awal jabatan itu adalah sebanyak RM3.5 bilion, namun sehingga 9 November Jabatan Imigresen berjaya memungut hasil sejumlah RM4.8 bilion.

“Itu hasil kutipan. Tetapi melalui kaedah perkhidmatan dalam talian, ia bukan membabitkan hasil kutipan sebaliknya mengurangkan kos perbelanjaan.

“Ia juga sebenarnya adalah hasil tetapi melalui pengurangan kos secara tidak langsung kerana sebelum ini kita bayar kepada syarikat pembekal perkhidmatan (service provider),” katanya pada sidang media selepas melancarkan pas digital ePASS, di kementeriannya, pada Jumaat.

Perkhidmatan dalam talian ePASS, antara inisiatif dijalankan Jabatan Imigresen, bagi permohonan lanjutan pas lawatan yang diluluskan kepada warganegara asing.

Hamzah berkata, sebahagian besar hasil diperoleh Jabatan Imigresen adalah melalui kutipan levi pekerjaan.

Beliau berkata, jabatan itu juga sudah melaksanakan beberapa program baharu yang boleh membantu kutipan hasil seperti Program Visa Premium (PVIP) Malaysia yang mampu menjana hasil sehingga RM206juta sekiranya semua 10,300 kuota dipenuhi.

Katanya, sehingga 8 November lalu, jumlah kutipan hasil dari visa premium sudah mencapai RM4juta.

Antara perkhidmatan yang sudah didigitalkan ialah perkhidmatan MyVISA (eVisa), MyOnline Passport, Pas Lawatan Kerja Sementara (ePLKS) dan pelbagai lagi perniagaan utama jabatan itu.

Menyentuh mengenai ePASS, Hamzah berkata, pelaksanaan itu dibuat untuk memberikan kemudahan kepada semua rakyat.

Katanya, ia dalam bentuk PDF yang boleh dimuat naik oleh pengguna peranti digital dan dalam bentuk fizikal yang boleh dicetak dan dilampirkan bersama-sama pasport.

“Bagi mendapatkan perkhidmatan ini, pengguna atau majikan dikehendaki mendaftar di portal ePLKS@JIM yang boleh diakses melalui portal rasmi jabatan berkenaan.

“Pengeluaran ePASS ini adalah bagi urusan lanjutan pas sedia ada, manakala pelekat PLKS masih digunakan untuk urusan pas pertama dan urusan lanjutan pas membabitkan pertukaran pasport baharu.

“Permohonan pertama masih lagi perlu dilakukan melalui proses biasa. Sejak mula ditawarkan pada 6 September lalu, ia sudah digunakan oleh 57,167 pengguna. Antara majikan yang menggunakan perkhidmatan itu termasuk Sime Darby dan Hartalega,” katanya.