NIBONG TEBAL, 12 Nov – Keangkuhan Barisan Nasional (BN) untuk tetap mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di sebalik amaran berlakunya bencana banjir terbukti semalam apabila beberapa kawasan di seluruh negara termasuk di Pulau Pinang dilanda banjir kilat.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pengundi perlu menghukum BN yang disifatkan telah menyusahkan rakyat itu menerusi peti undi pada 19 November ini.

Beliau yang juga calon kerusi Parlimen Gombak berkata, isu bencana banjir telah dibincangkan secara mendalam ketika Mesyuarat Jemaah Menteri kerana kebarangkalian berlaku banjir amat tinggi akibat hujan lebat dan ribut yang melanda negara ketika ini.

“Hari ini terbukti apa yang telah kita putuskan dalam Jemaah Menteri adalah berdasarkan fakta dan maklumat agensi berkaitan supaya kita dapat mengelakkan daripada menyusahkan rakyat sekiranya PRU15 berlangsung ketika musim banjir.

“Namun, kedegilan dan keangkuhan UMNO telah menyebabkan Dewan Rakyat dibubarkan dan pengundi terpaksa menanggung akibatnya.

“Jadi, pada 19 November ini, pengundi mesti menghukum UMNO dan BN yang telah menzalimi rakyat akibat situasi semasa banjir hari ini,” katanya pada Satu Berita.

Beliau berucap pada program Ceramah Perdana di Bandar Tasek Mutiara, Nibong Tebal, Pulau Pinang malam tadi.

Program terbabit turut dihadiri Presiden Gerakan, Dr. Dominic Lau Hoe Chai; Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Fauzi Yusoff serta calon PN Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman.

Semalam beberapa kawasan di seluruh negara antaranya di Shah Alam, Selangor dilaporkan dilanda bajir kilat akibat hujan lebat selama beberapa jam.

Situasi sama turut melanda di Pulau Pinang khususnya di bahagian tanah besar yang mana lebih 20 kawasan di Seberang Perai Tengah (SPT) dilaporkan dilanda bajir kilat akibat hujan lebat selama beberapa jam bermula pukul 5 petang.