BAYAN LEPAS, 12 Nov – Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berpandangan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak akan dapat membentuk kerajaan yang bersih, stabil dan bebas rasuah.

Azmin yang juga calon kerusi PN Parlimen Gombak berkata, ia bukan tuduhan palsu memandangkan beberapa nama besar dalam kalangan pemimpin PH dan BN sedang berdepan pelbagai pertuduhan di mahkamah.

“Ini tidak memberikan satu gambaran yang baik dan positif, selain tidak menggambarkan mereka akan dapat membentuk kerajaan yang bersih, stabil dan tidak (mengamalkan) rasuah.

“Bagaimana mungkin ini berlaku kalau calon mereka sendiri berdepan pelbagai tuduhan di mahkamah. Sepatutnya mereka memberi laluan kepada muka baharu sementara kes dibicarakan,” katanya selepas Ceramah Rakyat PN Isu Tambak Laut di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, bagaimanapun beliau percaya rakyat cukup matang dan dapat menilai serta memilih gabungan parti yang benar-benar ikhlas dan mampu membentuk kerajaan kuat, stabil prihatin dan bersih.

“Jadi saya serahkan kepada rakyat untuk menghukum PH dan juga BN yang tidak jujur dalam menyampaikan manifesto mereka kepada rakyat,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin dalam ceramahnya menyatakan pendirian PN untuk menolak projek tambakan laut di Pulau Pinang sekiranya diberikan mandat membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).