PUTRAJAYA, 12 Nov – Pengundi di Parlimen Putrajaya ditawarkan dengan lima tunjang yang mengandungi 50 tawaran, jika mereka memilih calon Perikatan Nasional (PN), Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Manifesto yang digelar Era Baharu Putrajaya itu mengetengahkan tawaran menyeluruh yang mengambil kira input dan maklum balas daripada penduduk di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan itu.

Mengakui berpengalaman menetap lama di Canberra, iaitu ibu negara Australia, Radzi berkata, beliau sedikit sebanyak memahami bagaimana cabaran yang dihadapi sebuah bandar pentadbiran.

Beliau berkata, tawarannya dihasilkan selepas mengambil kira maklum balas daripada jemaah surau, komuniti, persatuan Orang Kurang Upaya, pesara kerajaan, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), kumpulan belia serta anak muda Putrajaya.

“Ia datang daripada kepimpinan masyarakat dan warga Putrajaya.

“Kita nak pastikan apa yang ditawarkan sesuatu yang boleh dilaksanakan,” katanya pada sesi Pelancaran Tawaran Dr Radzi Jidin untuk Putrajaya, malam tadi.

Beliau berkata, Putrajaya mempunyai potensi yang tinggi berbanding sekarang.

Lima tunjang tawaran Radzi ialah demi warga Putrajaya yang sejahtera; ekonomi makmur; pendidikan generasi Putrajaya; masa depan anak muda serta infrastruktur dan kemudahan awam terancang.

Beliau berkata, tunjang demi membina warga Putrajaya yang sejahtera antara lain menawarkan pewujudan sebuah pusat khidmat sehenti, iaitu Putrajaya Care yang berperanan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan Ahli Parlimen kepada warga Putrajaya.

Katanya, turut akan diperkenal aplikasi Putrajaya Care sebagai platform untuk warga Putrajaya membuat aduan serta mendapatkan khidmat bantuan, tempahan fasiliti dan perkongsian infomasi.

“Akademi Anak Putrajaya akan ditubuhkan sebagai pusat sehenti untuk memberi peluang kepada anak-anak Putrajaya mendapatkan akses kepada program atau aktiviti pembangunan kendiri, termasuk program kepimpinan, pemerkasaan jati diri dan sahsiah, perkembangan bakat dan kerjaya, khidmat nasihat pengajian tinggi, biasiswa kerajaan dan swasta, bantuan mencari kerja dan program pementoran, bagi melahirkan generasi muda yang berdaya saing.

“Dalam konteks kerohanian, program #NgajiPutrajaya akan dilaksanakan melalui penyediaan kelas mengaji al-Quran dengan modul lengkap untuk kanak-kanak, remaja dan orang dewasa, termasuk penggunaan teknologi digital.

“Bagi memperkasa kebun komuniti sedia ada, program #KebunJaya akan dilaksanakan dengan penyediaan peruntukan sehingga RM5,000, selain kebun komuniti baharu akan diperluas dengan mengoptimumkan tanah kosong milik kerajaan melalui kerjasama Kerajaan Persekutuan, Perbadanan Putrajaya dan badan korporat,” katanya.

Turut ditawarkan oleh Radzi ialah memacu potensi Putrajaya sebagai destinasi pelancongan untuk pelancong tempatan dan luar negara dengan menambah penawaran produk pelancongan baharu bernilai tinggi.

Beliau berkata, pembangunan sektor pelancongan itu kelak akan mencipta peluang pekerjaan dan perniagaan untuk warga Putrajaya.

Katanya, bagi menyokong aktiviti pelancongan, antara pendekatan yang akan dilaksanakan ialah menjadikan Putrajaya sebagai destinasi utama mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) serta acara sukan, termasuk sukan peringkat antarabangsa.