KUALA LUMPUR, 12 Nov – Menteri Dalam sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli gagal mengaitkannya dengan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion di Sungai Langat 2.

Menurut Timbalan Presiden Pas itu, dakwaan terbaru Rafizi jelas bertujuan merosakkan reputasinya dan akan dijawab dengan saman fitnah.

“Rafizi telah membuat sidang media pada 11 November pada pukul 10.30 pagi bertujuan kononnya untuk menjawab tuntutan yang saya kemukakan dan memberi bukti kukuh tentang tuduhan yang beliau lakukan terhadap saya.

“Walau bagaimanapun, terbukti bahawa sidang media tersebut hanya menguatkan lagi sangkaan ramai pihak bahawa Rafizi hanya membuat tuduhan palsu dan penyelewengan fakta berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi saya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Semalam, Rafizi mendedahkan surat yang didakwa menunjukkan projek tebatan banjir RM2 bilion di Sungai Langat 2 diluluskan kerajaan untuk tender terus kepada sebuah syarikat tertentu pada 7 Oktober, sehari bekerja sebelum parlimen dibubarkan.

Menurut Rafizi, surat bertarikh 7 Oktober yang didakwa dihantar Ketua Setiausaha Perbendaharaan Asri Hamidon kepada Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar (Kasa) dan Air, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang menyatakan menteri kewangan bersetuju untuk meluluskan projek tebatan banjir Sungai Langat 2 untuk dianugerahkan secara rundingan terus dengan syarikat yang disifatkan Rafizi sebagai ‘kroni UMNO’.

Tuan Ibrahim berkata surat itu jelas menunjukkan bahawa dia dan kementeriannya tidak terlibat dalam kelulusan tersebut.

Katanya, berdasarkan kepada surat tersebut, adalah jelas bahawa kelulusan tersebut bukanlah dibuat oleh beliau ataupun Kasa.

Surat tersebut dikeluarkan pada 7 Oktober 2022, sebelum parlimen dibubarkan dan bukan semasa tempoh kerajaan sementara, jelasnya lagi.

“Sidang media yang dibuat oleh Rafizi juga gagal sama sekali mendedahkan bukti keterlibatan saya dalam kelulusan projek termasuk usaha saya atau Kasa untuk menganugerahkan projek tersebut ketika kerajaan sementara.

“Saya juga telah menyatakan dengan jelas bahawa saya tidak pernah berjumpa, berunding atau membuat apa-apa tindakan semasa tempoh kerajaan sementara ke arah menganugerahkan projek tersebut,” katanya.

Justeru, Tuan Ibrahim berkata dakwaan Rafizi jelas bersifat fitnah dan bertujuan untuk menjejaskan reputasinya dan Pas.

“Saya telah mengarahkan peguam saya, Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid untuk memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi sebaik sahaja menerima jawapan bertulis daripada peguam Rafizi atau selepas tamatnya tempoh tujuh hari yang telah diberikan,” katanya.

Dalam surat tuntutan yang dihantar kepada Rafizi, yang juga calon PKR Pandan, awal minggu ini, Tuan Ibrahim telah menuntut Rafizi mengeluarkan surat akujanji dalam tempoh tujuh hari (yang tamat pada 17 November) berjanji untuk berhenti membuat dakwaan serupa, serta menyediakan kenyataan memohon maaf atas dakwaan tersebut.

Selain itu, Rafizi juga diberitahu untuk mencadangkan jumlah yang sesuai sebagai pampasan dalam tempoh tujuh hari kerana didakwa memfitnah Tuan Ibrahim, yang mesti diselesaikan segera setelah persetujuan dicapai.

Awal minggu ini, Rafizi menuduh kerajaan sementara cuba memberikan kontrak bernilai berbilion ringgit untuk kroni.