MUAR, 13 Nov – Barisan Nasional meniru agenda Perikatan Nasional (PN) berhubung pindaan Perlembagaan Persekutuan berkenaan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warganegara asing.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, PN sudah meletakkan agenda itu terlebih dahulu di dalam manifesto dan beliau sendiri yang memasukkannya.

Katanya, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menjadi menteri terlalu lama namun semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu tidak meletakkan perkara itu di dalam menifesto partinya.

“Ini menunjukkan dia cuba tiru…apa kami dah lakukan dan letak dalam manifesto PN. Sekiranya saya menang dan bersama dalam Kabinet sebagai contoh, saya nak pastikan isu ini akan selesai,” katanya pada sidang media selepas mendengar taklimat mengenai persediaan banjir dan pilihan raya umum di Maktab Teknik PDRM di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai perkara itu manifersto BN yang diumumkan Ahmad Zahid minggu lepas.

Pada pengumuman itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, BN tidak lagi mahu, anak-anak yang dilahirkan melalui perkahwinan campur atau mereka yang berbeza identiti bangsa dan agama dinafikan hak untuk menjadikan Malaysia tanah air tercinta.

Beliau menegaskan, BN bersedia untuk meminda Perlembagaan Persekutuan tersebut sekiranya parti itu menang dan membentuk kerajaan selepas PRU.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, bukan beliau tidak bersimpati dalam perkara itu tetapi, beliau tidak boleh melakukan lebih daripada itu ketika ini.

Disebabkan itu katanya, beliau meminta PN memasukkan agenda tersebut di dalam manifesto dan ia telah diterima baik sehingga BN meniru apa yang akan dilaksanakan kelak.

“Saya harap semua pihak bukan sahaja BN tetapi semua gabungan parti politik akan ikut sama seperti apa yang PN umumkan lebih awal.

“Ini menunjukkan isu ini boleh diselesaikan lebih awal sekiranya semua pihak bersama saya dalam menyelesaikan masalah ini,” ujarnya.