BELURAN, 13 Nov – Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menggesa semua pihak menghentikan kempen berbentuk ugutan terhadap pengundi bagi meraih sokongan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ronald berkata, ugutan itu juga turut ditujukan kepada ketua kampung, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan penjawat kerajaan yang secara jelas menyokong calon lawan selain BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Datuk Seri Bung Moktar Radin (Pengerusi BN Sabah) tidak berhak untuk memaksa pengundi Beluran dengan ugutan untuk menyokong atau mengundi calon pilihannya pada PRU15 ini.

“Perbuatan Bung Moktar ini juga menggugat sistem demokrasi berparlimen dengan menyekat hak pengundi untuk memilih wakil rakyat secara rela hati tanpa sebarang paksaan dan ugutan,” katanya pada program bersama pengundi di Kampung Pinagkau Paitan pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Bung Moktar yang dipetik menerusi sebuah laporan akhbar pada Sabtu yang menyatakan bahawa mana-mana pemimpin dalam GRS dan BN yang melawan arus kerana menyokong calon parti lain perlu disingkirkan.

Ronald yang juga Naib Presiden BERSATU berkata, Timbalan Ketua Menteri Sabah itu sepatutnya mengamalkan kempen secara sihat berlandaskan kepada undang-undang.

Berhubung kenyataan Bung Moktar itu, Ronald berkata pihaknya akan membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disebabkan kenyataan tersebut dilihat berupa ugutan kepada pengundi Beluran pada PRU15 ini.

Ronald yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan mempertahankan kerusi Parlimen Beluran pada PRU15 ini dengan bertanding atas tiket PN.

Kerusi Parlimen Beluran menyaksikan pertandingan lima penjuru dengan calon lain iaitu Rowiena Rasid daripada Parti Warisan (Warisan), Hausing Samsudin @ Sudin (Pejuang) dan Felix Joseph Saang daripada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mewakili Pakatan Harapan (PH).