BATU PAHAT, 13 Nov – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, memohon maaf kepada mana-mana pihak yang tersinggung dengan kenyataan pengundi ‘masuk api neraka’ jika memilih Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Muhyiddin berkata, seharusnya semua pemimpin PN mengelak daripada mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana boleh menimbulkan salah faham.

Katanya, mungkin mereka sudah mengetahui penjelasannya dan beliau sendiri juga tidak suka untuk membuat kenyataan seperti itu.

“Tak apalah saya fikir mereka sudah mengetahui penjelasannya. Saya sendiri tidak berapa gemar buat kenyataan seperti itu.

“Yang penting elakkan kenyataan boleh timbulkan salah faham dalam kalangan pengundi,” katanya selepas menghadiri dalam program Santai Anak Muda Johor di Dewan Terbuka Taman Sri Penggaram di sini, pada Sabtu.

Muhyiddin berkata, pihaknya turut mengharapkan isu kenyataan oleh pemimpin pemuda PAS Sik itu tidak perlu diperbesarkan.

“Seharusnya semua pemimpin PN perlu mengelakkan mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana boleh menimbulkan salah faham,” katanya.

Semalam, Ketua Pemuda PAS Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir, tampil memohon maaf susulan ucapannya yang memberi amaran pengundi ‘masuk api neraka’ jika memilih BN atau PH, berbanding PN.

Dalam video dimuatnaik dalam laman Facebook Pemuda PAS Sik, Shahiful mengemukakan permohonan maaf sambil mengakui kenyataan dibuatnya menyinggung ramai pihak.

Katanya, beliau juga mahu video berhubung kenyataan itu tidak disebarkan demi menjamin PRU bebas daripada isu perkauman dan agama melampau.