ARAU, 13 Nov – Kementerian Dalam Negeri (KDN) belum menerima sebarang laporan berhubung kebocoran 800,000 data pengundi didakwa diperoleh daripada sistem MySPR.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, setakat ini belum ada laporan polis dibuat namun pihaknya sedia menyiasat isu berkenaan.

“Namun apa yang saya hendak tekankan adalah data diperoleh daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanyalah nama dan nombor kad pengenalan sahaja dan sekiranya tertera sekali dengan nombor telefon bererti ia satu bentuk penipuan,” katanya. selepas menyampaikan ceramah Program Jelajah Perikatan Nasional (PN) di sini, hari ini.

Turut hadir, penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga calon PN, Pengerusi PN Perlis, Shukri Ramli; Naib Pengerusi 1 PN Perlis, Abu Bakar Hamzah serta seluruh kepemimpinan dan calon PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sebelum ini, media melaporkan lebih 800,000 data pengguna didakwa diperoleh daripada sistem MySPR dijual pada harga RM9,401 di pangkalan data terkenal.

Berdasarkan laporan di laman web lowyat.net, difahamkan terdapat pangkalan data itu memiliki gambar swafoto dan MyKad menggunakan sistem elektronik Kenali-Pelanggan-Anda (e-KYC).

Hamzah berkata, sekiranya data dimuat naik itu digunakan bererti ada individu tertentu menggunakannya untuk mencari keuntungan namun enggan mengaitkannya dengan syarikat telekomunikasi di negara ini.