BATU PAHAT, 13 Nov – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau menyambut baik kajian Merdeka Center yang menunjukkan sokongan pengundi Melayu lebih memihak kepada gabungan itu sebanyak 35 peratus.

Beliau berharap peningkatan itu akan berterusan sehingga 70 hingga 80 peratus supaya dapat membentuk kerajaan.

“Yang penting kita sudah tahu ada peningkatan.

“Namun kita tidak boleh buat kesimpulan sekarang, yang penting tunggu hingga 19 November ini,” katanya selepas menghadiri dalam program santai anak muda Johor di Dewan Terbuka Taman Sri Penggaram.

Kajian Merdeka Center baru-baru ini, melaporkan sokongan pengundi Melayu lebih memihak kepada PN iaitu sebanyak 35%, manakala sokongan pengundi Melayu kepada BN adalah lebih rendah iaitu 28%.