KUALA LUMPUR, 13 Nov – Pendedahan bekas Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman berhubung tawaran jawatan Kabinet didakwa membuktikan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu mengetuai kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ini kerana perkara itu jelas menunjukkan Presiden UMNO itu sedang mencatur susunan jemaah menteri dalam Kabinet.

“Tindakan Ahmad Zahid menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri hanyalah lakonan untuk menipu rakyat Malaysia. Anggota Kabinet pun Ahmad Zahid yang hendak susun.

“Saya yakin rakyat Malaysia sedar rancangan sulit Ahmad Zahid ini. Saya harap semua pengundi akan tolak Ahmad Zahid dan beri peluang kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memimpin negara melalui Perikatan Nasional,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, Anifah membuat kejutan apabila muncul dalam program Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sabah, semalam.

Anifah yang juga Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) itu bukan sekadar hadir dalam Perhimpunan Kebangkitan Rakyat Sepanggar malah, beliau secara terang-terangan menyatakan sokongan terhadap Anwar Ibrahim selaku calon Perdana Menteri.

Malah, beliau mendedahkan, dia ada diminta oleh Ahmad Zahid untuk tidak bertanding di Parlimen Kimanis dan membantu calon-calon BN.

Dedahnya, sebagai balasan, calon BN Parlimen Bagan Datuk itu menawarkan jawatan Menteri Luar dan Senator kepadanya.

Bagaimanapun, katanya, bukan jawatan yang beliau kehendaki sebaliknya, beliau mahu agar tuntutan-tuntutan yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ditunaikan.