ALOR SETAR, 13 Nov – Rakyat perlu memilih kerajaan yang stabil, bersih dan bebas dari amalan rasuah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, rakyat kini mahu kerajaan mana yang benar-benar menjaga kepentingan dan kebajikan mereka.

Beliau berkata, kerajaan prihatin, bersih dan stabil atau PN BEST itulah perkara ditawarkan PN dalam manifesto dilancarkan pada 6 November lepas.

Alhamdulillah, rakyat sambut baik (dan) anak muda memang mahu kerajaan (yang) bersih dan stabil.

“Anak muda mahu pemimpin yang berintergriti, tidak ada amalan rasuah (serta) tidak salah guna kuasa. Mereka menyambut baik PN,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana PRU15 di Kampung Ganding, Alor Mengkudu, di sini, pada malam Ahad.

Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Ketua Bahagian Bersatu Alor Setar, Dzowahir Abdul Ghani dan calon PN Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudin.

Sehubungan itu, beliau berkata, rakyat tidak perlu keliru untuk membuat pilihan pada pilihan raya kali ini antara PN, BN ataupun Pakatan Harapan (PH) memandangkan beberapa calon dari parti lain masih berdepan perbicaraan mahkamah ataupun memiliki kes salah guna kuasa.

Beliau turut mempersoalkan bagaimanapun parti-parti lain ingin membentuk kerajaan yang bersih sekiranya meletakkan calon yang sedang dibicarakan di mahkamah.

Bagi Azmin yang juga Pengarah Pilihan Raya PN menyatakan, parti-parti lain sepatutnya memberi laluan kepada tokoh-tokoh baharu sementara kes dibicarakan di mahkamah.

“Bagaimanapun, jikalau rakyat meneliti calon PN, lihat calon kita di Marang (iaitu) Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dan calon kita di Pagoh iaitu Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Semua calon PN sama ada di Semenanjung Malaysia ataupun Sabah dan Sarawak, tidak ada yang terpalit rasuah dan salah guna kuasa,”katanya.

Beliau menyatakan kriteria dimiliki calon PN membuktikan apa dizahirkan dan diucapkan oleh gabungan parti terbabit adalah satu kenyataan.

Dalam perkembangan sama, PN bersiap sedia untuk melaksanakan pecutan akhir kempen PRU15.

Azmin berkata, beliau turut melahirkan harapan Parlimen Alor Setar akan berubah dengan kerusi itu akan dimenangi PN pada 19 November ini.

“Saya berharap Kedah berjaya dalam pertubuhan ekonomi dan industri tetapi saya juga bercita-cita ingin melihat pilihan raya kali ini Kedah kukuh dibawah kepimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor,” katanya.