IPOH, 13 Nov – Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tambun tidak memerlukan poster bersaiz gergasi seperti calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperkenalkan calon bertanding di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, poster yang sedia ada sudah mencukupi kerana orang Tambun sudah sedia mengenalinya sebagai calon di kerusi Parlimen tersebut.

Menurutnya, bagaimanapun setiap calon mempunyai kreativiti masing-masing dalam memperkenalkan diri terutama bagi calon luar yang tidak begitu dikenali masyarakat setempat.

“Kalau saya ada duit, saya pun nak buat juga (poster gergasi) tapi saya tak ada duit. Dia (Anwar) perlu lakukan perkara itu untuk perkenalkan diri kepada orang Tambun kerana beliau bukan datang dari sini. Kalau buat poster kecil, orang tak nampak. Jadi kena buat lebih besar dan benda itu mungkin boleh menarik perhatian orang Tambun.

“Itu kreativiti beliau. Saya meraikan usaha-usaha ini. Beginilah kita berkempen dalam pilihan raya,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Pelancaran E-Sports Youth Cabin Perak di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kewujudan poster gergasi Anwar yang dipasang di beberapa kawasan di sekitar Parlimen Tambun.

Sementara itu, Ahmad Faizal menggesa semua pihak bersifat matang dalam berpolitik dengan tidak merosakkan poster serta bahan-bahan kempen calon lain.

Menurutnya, tindakan merosakkan poster calon sesuatu yang disifatkan tidak menghormati proses demokrasi dan menghargai kepelbagaian pendapat seterusnya menyerahkan keputusan memilih kepada kebijaksanaan rakyat.

“Saya tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak, namun saya ingin perkatakan kepada mereka yang telah merosakkan poster ini bukan sahaja poster saya, poster calon-calon pesaing saya juga, perlulah kita jaga dengan baik dan tidak dirosakkan kerana akhirnya kita nak serahkan kebijaksanaan kepada rakyat.

“Apa yang kita lakukan dengan merosakkan itu tak semestinya memberi impak negatif kepada calon tersebut, silap-silap saya pulak dapat undi simpati daripada orang ramai,” katanya ketika mengulas mengenai posternya yang dirosakkan inidividu tidak bertanggungjawab.

Beliau menyerahkan kepada pasukannya sama ada untuk melaporkan perbuatan itu kepada pihak polis atau sebaliknya kerana tumpuan harus diberikan kepada kempen meraih undi.