KUANTAN, 14 Nov – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim patut cermin diri sendiri sebelum bercakap mengenai menentang nepotisme dan menyokong reformasi.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, Anwar sendiri mengamalkan nepotisme apabila isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya, Nurul Izzah bertanding dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Itulah nepotisme pada tahap tertinggi. Tidak kisahlah apa yang Anwar cakap mengenai orang lain termasuk saya sendiri, beliau perlu cermin diri sendiri.

“Anwar sentiasa bercakap mengenai reformasi dan (mendakwa) menentang amalan nepotisme tetapi menariknya mengenai Anwar ialah beliau sendiri contoh nepotisme,” kata Saifuddin kepada wartawan di Kuantan.

Katanya, satu lagi contoh adalah Langkah Kajang pada 2014 apabila PKR mahu menggantikan menteri besar Selangor ketika itu, Tan Sri Khalid Ibrahim dengan cuba meletakkan Anwar sebagai ADUN Kajang.

Bagaimanapun, Anwar tidak layak kerana ada kes mahkamah dan digantikan dengan isterinya.

Saifuddin mengkritik Anwar dan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli kerana meminta pengundi tidak mengundi pemimpin yang berpaling tadah kepada parti lain.

“Pemimpin sebenar tidak membuat serangan peribadi. Pemimpin sebenar bercakap mengenai dasar dan manifesto mereka. Rumusan saya adalah mudah, mereka (PH) tidak ada calon yang baik untuk menentang saya,” katanya.

Saifuddin bakal mempertahankan kerusi Parlimen Indera Mahkota di Kuantan buat penggal kedua. Beliau dicabar Quek Tai Seong daripada Barisan Nasional (BN) Zuraidi Ismail (PH) dan Mohamad Nor Sundari (Pejuang).