ALOR GAJAH, 14 Nov – Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof tidak menolak bahawa lebih 30 peratus pengundi bukan Melayu akan menjadi penentu kemenangan calon bertanding di kerusi berkenaan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Redzuan yang juga penyandang kerusi Alor Gajah yakin pengundi itu akan terus memberi sokongan kepadanya walaupun Bersatu telah keluar Pakatan Harapan (PH) dan menyertai PN kerana mereka bijak menilai khidmatnya sebagai wakil rakyat sebelum ini.

“Kalau nak kata pengundi Cina lari saya tak bersetuju sebab mereka menghormati kepimpinan Melayu yang bersih, sebab mereka tahu majoriti penduduk Malaysia adalah Bumiputera Islam dan wajib melestarikan kepimpinan itu, tapi kita kena pamerkan ciri-ciri kepimpinan yang boleh dihormati bukan ciri-ciri kepimpinan yang jelek,” katanya kepada FMT.

Ditanya sama ada keputusan PN membentuk gabungan bersama PAS menyebabkan bukan Melayu lari daripada menyokong beliau, Redzuan berkata pengundi Alor Gajah lebih melihat kepada individu berbanding parti.

Katanya, gelombang Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Anwar Ibrahim dalam PRU kali ini membabitkan sokongan bukan Melayu, tidak sehebat PRU14 dan mereka tidak lagi takut kepada parti yang memperjuangkan Islam.

“Kalau tengok pengundi bukan Melayu sendiri mereka memerhati watak pemimpin, jadi Islam tidak ditakuti, cuma kita kena gambarkan nilai-nilai budaya bersih kena ada dalam pemimpin, adakah nilai Islam kita boleh berkompromi dengan pencuri?

“Orang Cina tak mahu pencuri, jadi ini kita terangkan kepada bukan Melayu, nilai dalam Islam itu mustahak. Mereka suka melihat orang beramanah dan bersih,” katanya sambil memaklumkan ciri-ciri itu ada dalam pemimpin PN.

Mengulas tindakan lawan, BN dan PH yang mempertaruhkan nama besar untuk merampas Alor Gajah, Redzuan berkata beliau sedia bersaing dengan sesiapa sahaja termasuk Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan dan bekas ketua menteri, Adly Zahari.

Beliau yakin majoriti pengundi di Alor Gajah akan menyokong beliau kerana calon PH dari Amanah dilihat sebagai calon taruhan DAP untuk pecahkan orang Melayu, sementara Shahril calon luar yang tidak dikenali.

Katanya, walaupun beliau mempunyai kelebihan itu, seluruh jentera PN perlu bekerja lebih kuat untuk mengekalkan kemenangan di Alor Gajah.

Ditanya sama ada kemenangan BN di semua lima DUN di bawah Parlimen Alor Gajah dalam PRN Melaka iaitu Asahan, Durian Tunggal, Machap Jaya, Gadek dan Rembia menyukarkan PN menang di Parlimen, Redzuan berkata situasi PRN dan PRU berbeza.

“Kita sudah buat kajian, walaupun BN menang PRN Melaka, tidak semestinya PRU mereka akan menang sebabnya hari ini saya lihat kerjasama dengan PAS, Bersatu begitu erat, apa yang pengundi nak lihat adalah penyatuan ummah. Orang Melayu di negara ini perlu bekerja untuk menyatukan semua kaum di negara ini,“ katanya.

Kerusi Alor Gajah menyaksikan pertandingan empat penjuru selain penyandang Redzuan (PN), Shahril (BN), Adly (PH), serta Pejuang turut mempertaruhkan Muhammad Nazriq di kerusi berkenaan.