MUAR, 14 Nov – Senarai Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) boleh dibeli oleh mana- mana individu daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya senarai tersebut disertakan dengan nombor telefon setiap individu, data tersebut bukanlah diperoleh daripada SPR.

“Saya nak maklumkan nama-nama pengundi ini memang boleh dibeli, yang nak pergi beli kat sindiket itu buat apa?

“(Daftar pemilih) boleh dibeli melalui SPR, kalau nama-nama pengundi itu ada nombor telefon maknanya itu bukan daripada SPR.

“Setakat ini, belum ada sebarang laporan mengenai isu ini. Saya fikir setakat ini SPR faham dan sesiapa pun boleh beli senarai pengundi daripada SPR,” katanya pada sidang media selepas Sesi Taklimat Persediaan Banjir dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bakri, di sini, pada Ahad.

Sebelum ini, media melaporkan pangkalan data dalam sistem MySPR melibatkan 800,000 pengguna didakwa ditawarkan di pasaran pangkalan data terkenal dengan harga jualan pada RM9,401.

Sementara itu, Hamzah yang juga penyandang kerusi Parlimen Larut berkata, sebanyak 130 laporan polis diterima membabitkan kempen PRU15 di Johor melibatkan pelbagai kesalahan.

Ditanya sama ada terdapat laporan polis mengenai dakwaan anggota tentera yang terbabit dengan pengundian di Bera, Pahang dan dibayar RM300, Hamzah berkata tiada laporan diterima mengenai hal itu.

Berhubung, kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut dan PRU15, Hamzah berkata, PDRM akan dibantu Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Seramai 4,057 pegawai dan anggota polis dari 13 Daerah Kontinjen Johor ditugaskan bagi misi banjir dengan 134 aset PDRM sedia diatur gerak termasuk 29 bot, 40 buah lori dan 65 kenderaan pacuan empat roda.

Manakala 8,526 pegawai dan anggota dikerah bagi penugasan PRU15 dan akan turut dibantu oleh Rela,” katanya.