KUANTAN, 14 Nov – Kementerian Luar Negeri mengesahkan setakat ini tiada rakyat Malaysia terbabit dalam kejadian letupan di Istiklal Avenue, Istanbul, Turkiye.

Bagaimanapun Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata Konsulat Malaysia di Istanbul memantau rapat perkembangan terkini kejadian.

Katanya, rakyat Malaysia di negara berkenaan dinasihatkan menghubungi pihak kedutaan Malaysia di Istanbul dan Ankara untuk memaklumkan keadaan terkini.

“Saya bersyukur kejadian di Turkiye tidak membabitkan rakyat kita, namun Malaysia bersedih dengan insiden yang menyebabkan enam maut manakala 88 cedera.

“Rakyat Malaysia yang kini berada di Turkiye dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan tidak berada berhampiran lokasi kejadian,” katanya pada sidang media di Indera Mahkota, di sini hari ini.

Letupan yang berlaku kira-kira 4.20 petang (1320 GMT) itu mengorbankan enam nyawa dan mencederakan 81 yang lain, lapor Agensi Anadolu (AA) memetik naib presiden Turkiye Fuat Oktay sebagai berkata pada Isnin.

Oktay yang melawat lokasi kejadian memberitahu media di Dataran Taksim Istanbul bahawa seorang penyerang wanita bertindak meletupkan bom dan tindakan itu dianggap sebagai perbuatan pengganas.

Terdahulu, sejurus sebelum berlepas ke Indonesia bagi menghadiri sidang kemuncak G20 ke-17, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan berkata serangan bom itu “berkemungkinan serangan pengganas.”