KUALA LUMPUR, 14 Nov – Perikatan Nasional (PN) mahu pengundi keluar mengundi beramai-ramai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu ini bagi memastikan kemenangan calon gabungan tersebut.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setakat 10 hari berkempen, majoriti pengundi sudah tidak sabar untuk keluar mengundi terutamanya pengundi pertama kali dan pengundi muda.

Katanya, dengan tawaran manifesto menarik yang dibuat PN, penerimaan rakyat sangat baik dan mahu momentum tersebut diteruskan sehingga ke garisan penamat.

“Saya akui kami (PN) hadapi cabaran besar tetapi kita yakin sebahagian besar pengundi akan menyokong PN. Saya mahu 100 peratus keluar mengundi. Kalau tak dapat seratus peratus, dapat 90 atau 95 peratus pun boleh.

“Kalau jatuh ke tangan Barisan Nasional (BN), tahulah musibahnya, begitu juga kalau jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH), kena ingat pemerintahan 22 bulan mereka,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PN di sini pada Isnin.

Ditanya mengenai keyakinannya bertanding di Parlimen Pagoh, Muhyiddin berkata pengundi di Parlimen itu sudah mengenalinya dan tahu memilih pemimpin yang akan mewakili mereka.

“Saya di sana (Parlimen Pagoh) dah lama, lebih dari 40 tahun. Orang Pagoh tahu apa yang saya buat di sana selama ini. Saya yakin akan dapat teruskan tanggungjawab saya di Pagoh,” katanya.