BUKIT MERTAJAM, 14 Nov – Semua calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pulau Pinang perlu menang bagi menyumbang dua pertiga majoriti untuk membolehkan gabungan itu membentuk kerajaan.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata beliau meletakkan harapan semua calon yang bertanding dapat menang berikutan gelombang dan kebangkitan rakyat terhadap PN semakin jelas ditunjukkan ketika ini.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata dalam usaha memperoleh majoriti dua pertiga, PN perlu menang di Permatang Pauh, Bukit Mertajam, Tasek Gelugor, Kepala Batas dan Balik Pulau.

Katanya, PAS memilih berada di dalam PN demi penyatuan ummah dan berharap dapat bersatu padu dalam membentuk kerajaan.

“Seboleh-bolehnya kita (PN) kena dapat majoriti dua pertiga, maka semua kawasan yang kita bertanding di Pulau Pinang (Permatang Pauh, Bukit Mertajam, Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Balik Pulau) mesti dimenangkan.

“Pada 20 November ini, kita tubuh kerajaan, dengan izin Allah SWT,” katanya ketika menyampaikan Ceramah Perdana di Kubang Semang, Penanti, di sini, malam tadi.

Sementara itu, Abdul Hadi mengulangi kenyataan PN dalam usaha menawan Perlis dan Pahang yang mana gelombang baharu sokongan rakyat di kedua-dua negeri itu amat tinggi selepas meletakkan bekas pemimpin UMNO yang digugurkan daripada bertanding pada PRU15.

Menurutnya, PN memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin itu selepas mereka dicantas parti seterusnya membangkitkan gelombang PN di Perlis dan Pahang.

“Kita dapati apabila kita buat begini (ambil dua bekas pemimpin UMNO) ada gelombang di Perlis dan Pahang.

“Jadi, kita harap dapat tawan kedua-dua negeri itu dalam PRU15 kali ini,” katanya.