KUALA LUMPUR, 15 Nov – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak mendabik dada dengan mendakwa gabungan itu jauh mendahului sokongan pengundi berbanding parti lawan menjelang hari mengundi pada 19 Nov ini.

Ini kerana, kata pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, tempoh berkempen masih berbaki empat hari.

“Dalam keadaan macam ni dia boleh kata begitu, tapi kita ada lima (empat) hari lagi. Dia tak boleh mendabik dada kata ada sokongan besar, saya pun boleh cakap begitu.

“Apapun kita serahkan kepada pengundi untuk buat pertimbangan bijaksana,” katanya selepas ceramah PN di Keramat.

Terdahulu, Anwar dilaporkan berkata, beliau yakin PH sedang mendahului parti lawan dari segi sokongan pengundi berdasarkan data dan kajian setempat.

Muhyiddin yang bertanding di Parlimen Pagoh berkata, kenyataan Anwar itu menunjukkan beliau hanya mementingkan jawatan.

“Saya dah jelaskan panjang lebar apa yang kita perjuangkan (dalam manifesto), belah sana tak sebut apa-apapun.

“Bagi dia tak penting, bagi dia jawatan saja. Bagi saya bukan jawatan, tapi perkhidmatan yang nak ditawarkan pada negara. Yang itu saya telah sebutkan dalam manifesto saya.”

Muhyiddin dalam ucapannya berkata, sebahagian besar orang Melayu menyokong PN ketika ini.

“Yang saya nak tentukan dalam tempoh mendatang, sekurang-kurangnya 80% orang Melayu sokong PN, insya Allah PN boleh bentuk kerajaan.”