LARUT, 15 Nov – “Kalau dia kata PN berlagak bersih, saya nak media tanyakan pada Mat (Mohamad) Hasan, ada tak pada April 2019 Tok Mat datang ke rumah saya minta tolong. Itu sahaja soalannya supaya dia boleh jawab,” kata Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Hamzah mengulas kenyataan Mohamad semalam bahawa PN adalah parti yang ‘berlagak suci’ sedangkan ia bersekongkol dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menipu rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beliau tidak mahu membangkitkan perkara yang bukan-bukan membabitkan Tok Mat, justeru meminta Timbalan Presiden UMNO itu juga agar tidak mengeluarkan kenyataan jelik terhadap BERSATU.

“Jadi janganlah bangkitkan isu-isu yang seolah-olah memberi persepsi umum bahawa PN ini adalah sebuah parti sama macam BN,” katanya ditemui selepas hadir pada kenduri rakyat Pondok Daerah Mengundi (PDM) Sungai Rambutan, malam tadi.

Beliau berkata Perikatan Nasional (PN) meletakkan calon yang bersih dalam PRU15 manakala BN pula ada meletakkan calon yang mempunyai masalah.

“Sepatutnya orang yang bermasalah itu tidak menjadi calonlah, itu perbandingan antara BN dan PN.

Menurut Hamzah, tindakan Tok Mat mengkritik PN seolah-olah kerana beliau mula berasa takut kepada gabungan itu sehingga terpaksa buat cerita yang bukan-bukan.

“Presiden dia sendiri yang bercakap dalam program bersama MIC, Tok Mat Hassan akan masuk dalam, bukan kita (PN) yang cakap.

“Kalau betul Tok Mat akan masuk dalam, apa kesnya. Jadi kita cuma nak peringatkanlah dia (Tok Mat Hassan).” katanya.

Semalam, Mohamad memberi amaran kepada BERSATU supaya tidak “berlagak suci” memandangkan parti itu bersekongkol dengan Pakatan Harapan (PH) menipu rakyat, pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) itu, berkata rakyat perlu menilai kembali “dosa-dosa” BERSATU dalam gabungan itu walaupun parti berkenaan kini bersama Perikatan Nasional (PN).

“BERSATU terbabit merangka manifesto yang tidak ditepati tetapi orang lupa tentang itu kerana mereka sudah keluar daripada PH. BERSATU jangan ingat mereka tiada dosa dan sekarang apabila masuk PN berlagak suci pula,” kata Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat.

Mengenai dakwaan Nga Kor Ming negara akan menjadi ‘taliban’ sekiranya PN berkuasa, Hamzah berkata, ketua DAP Perak itu sebagai ‘cetek pemikiran’.

Malah, beliau tidak akan teragak-agak membuat laporan polis sekiranya kenyataan itu mencetuskan rusuhan kaum.

“Saya rasa dia seorang yang cetek pemikirannya, kerana dia hanya membakar semangat kumpulan-kumpulan tertentu nak menakut-nakutkan golongan tertentu.

“(Sekiranya) ada perkara-perkara yang membabitkan rusuhan atas sifat beliau mengeluarkan kenyataan itu, saya akan buat laporan polis dan saya minta supaya polis mengambil tindakan,” katanya.

Nga semalam mendakwa dasar ‘pelampau’ yang diketengah PAS mengenai perjudian, arak, konsert dan pengasingan lelaki dan wanita sememangnya mengancam nilai sekular dan kepelbagaian budaya negara.

Katanya, dasar berkenaan akan ‘menceroboh’ kebebasan orang bukan Islam serta membawa kepada penghijrahan pelabur asing yang secara langsung memberi kesan kepada ekonomi.