BAGAN DATUK, 15 Nov – Bagan Datuk memerlukan perubahan yang lebih segar mahupun datang daripada pihak luar atau parti baharu.

Calon Perikatan Nasional (PN), Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata Bagan Datuk sudah enam penggal diterajui Barisan Nasional (BN) bawah kepimpinan calon tempatan, iaitu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, justeru sudah tiba masanya pengundi memberi kepercayaan kepada “orang luar” untuk membuat perubahan.

“Kadang-kadang perubahan itu perlu dilakukan oleh pihak luar seperti mana dalam sirah, apabila golongan Muhajirin berhijrah daripada Mekah ke Madinah, buat perubahan jadi sebuah negara Islam dan kerajaan yang berkembang luas.

“Jadi saya mengambil semangat itu, umpamanya saya patut menawarkan prinsip dan dasar untuk berubah ke arah kebaikan kepada Bagan Datuk,” katanya dalam satu temu bual khas bersama FMT.

Menurutnya, parti seperti UMNO meskipun telah bertapak lebih 60 tahun, namun belum tentu ia semakin kukuh kerana apabila jelas ia mudah rapuh dengan wujudnya pelbagai masalah dalaman.

Justeru, kata Faiz, pengundi perlu berani mencuba pimpinan baharu seperti Perikatan Nasional (PN) yang menawarkan perubahan serta penyelesaian, bukan sekadar menabur janji manis.

“Sesuatu yang sebegitu tua dan lama seperti Umno, akan datangkan masalah. Adakalanya bila sudah terlampau membesar, ia mudah rapuh dan berpecah sesama sendiri.

“Sebolehnya kita memahami dan menghayati apa sebenarnya denyut nadi warga biasa, orang kampung dan orang muda di Bagan Datuk ini, supaya mereka boleh pergi jauh,” katanya.

Bercakap mengenai situasi persaingan dengan calon lain, Faiz mengakui bukan mudah menjalankan kempennya kerana turut berdepan Shamsul Iskandar Md Akin daripada PH, yang digelar “giant killer”.

Setiap calon mempunyai kekuatan tersendiri, katanya, justeru dalam kempennya, beliau hanya memfokuskan kepada tawaran kepada penduduk dan mengelak daripada membuat sebarang serangan peribadi terhadap calon lain.

“Saya gunakan pendekatan yang lebih berhemah, sebab itu kalau kita tengok sejak hari penamaan calon, kalau kami bertembung dengan penyokong Umno, perasaan saling menghormati itu ada.

“Kita mencari ruang membuat kempen berdasarkan tawaran, bukan lagi setakat bertembung sahaja,” tambahnya.

Di Parlimen Bagan Datuk, selain Shamsul, Faiz turut berdepan penyandang lima penggal Ahmad Zahid Hamidi (BN), yang juga presiden Umno dan calon bebas Tawfik Ismail, sebelum ini bekas ADUN Sungai Benut.