JOHOR BAHRU, 16 Nov – Satu jajaran lebuh raya merentasi kawasan pantai dari Selangor ke Johor Bahru bakal dibina sekiranya Perikatan Nasional (PN) diberi mandat menubuhkan kerajaan pada 19 November ini.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata jajaran lebuh raya itu akan memudahkan pergerakan orang ramai, khususnya pelancong untuk datang ke Johor, yang sekali gus akan meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat.

Berucap pada majlis sembang santai bersama penduduk di Stulang Laut, Muhyiddin berkata agenda pembangunan itu boleh dilaksanakan jika PN memerintah.

Muhyiddin yang mempunyai berpuluh tahun pengalaman dalam politik negara berkata beliau melihat sendiri sekarang ini satu gelombang sokongan terhadap PN yang menggegarkan bermula di Perlis dan semakin menghampiri Johor Bahru.

“Jika PN memerintah Kerajaan Pusat dengan sokongan pengundi dan saya dilantik menjadi Perdana Menteri, mudahlah pembangunan dilaksanakan.

“Menteri Besar Johor sekarang daripada UMNO akan berjumpa saya dan memohon pelaksanaan projek pembinaan jalan. Tapi, kita (Perikatan Nasional) akan buat lebuh raya pesisir pantai dari Lembah Klang ke Johor jika menang,” katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin yang menyandang kerusi Parlimen Pagoh dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu ini, menasihatkan pengundi Johor supaya tidak melakukan kesilapan ketika Pilihan Raya Negeri sebelum ini.

Beliau juga berjanji untuk menyelesaikan isu yang dihadapi antara rakyat dengan kerajaan Johor pimpinan UMNO sekarang ini sekiranya, dengan sokongan pengundi, dapat membentuk Kerajaan Pusat.

Muhyiddin turut mengingatkan pengundi supaya membandingkan manifesto yang ditawarkan Perikatan Nasional dengan manifesto parti lain.

“Tawaran Perikatan Nasional lebih baik daripada Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (PH),” katanya pada majlis yang turut dihadiri kaum Cina, termasuk peniaga.

Muhyiddin berkata tawaran Perikatan Nasional, termasuk memberi bantuan kepada peniaga seperti moratorium untuk tidak membayar hutang pinjaman bank.

“Ini pernah dilakukan ketika Kerajaan Perikatan Nasional memerintah sebelum ini ketika pandemik melanda. Malah, kerajaan juga memberi wang kepada syarikat untuk membayar gaji pekerja yang tidak dapat bekerja kerana sekatan Covid-19,” katanya.