KUANTAN, 16 Nov – Cabaran debat calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah terhadap tiga lagi pencabarnya ‘tidak bersahut’.

Debat empat penjuru bagi calon Parlimen itu dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO) sepatutnya berlangsung malam tadi.

Bagaimanapun, hanya Saifuddin yang juga Menteri Luar saja yang hadir dalam program debat berkenaan tanpa tiga lagi pencabarnya.

Saifuddin berkata, debat yang dianjurkan bukan mahu mencari siapa pemenang tetapi menjadi platform untuk semua calon memberi penerangan lanjut aspirasi yang mahu di bawa di Parlimen Indera Mahkota.

“Semua calon patut ambil peluang berdebat untuk menerangkan situasi dan pembaharuan yang bakal dibawa untuk dinilai masyarakat di Parlimen itu.

“Kesempatan debat ini juga perlu direbut untuk memperjelaskan lebih terperinci mengenai manifesto calon dan parti diwakili,” katanya ketika ditemui di sini, pada Selasa.

Beliau yang juga penyandang kerusi Indera Mahkota berkata, penganjur program itu menjemputnya menyertai debat dan terbuka untuk memberi penerangan lanjut mengenai manifesto sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Katanya, peluang sama turut diberikan kepada tiga lagi pencabarnya masing-masing dari Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan Tanah Air (GTA).

“Debat berkenaan dianggap sebagai dimensi politik baharu atau politik ilmu yang membolehkan calon mencari idea terbaik untuk pembangunan kawasan di Indera Mahkota.

“Ia juga memberi peluang kepada pengundi menilai kewibawaan calon yang akan menjadi wakil rakyat di Parlimen kelak,” katanya.

Indera Mahkota menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Datuk Quek Tai Seong(BN), Zuraidi Ismail (PH) dan Dr Mohamad Noor Sundari (GTA).