TAWAU, 16 Nov – Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yakin mampu menang lebih 15 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu ini.

Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, berdasarkan gelombang sokongan terhadap gabungan GRS-BN ketika ini, beliau optimis sasaran itu mampu direalisasikan termasuk merampas semula kerusi Parlimen Tawau dan Kalabakan.

“Kekuatan kerajaan negeri yang ada sekarang adalah atas muafakat rakan komponen dalam GRS-BN, selain mandat daripada rakyat.

“Muafakat ini amat penting kerana kita mahu kerajaan yang stabil untuk memajukan negeri,” katanya berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat, di Dewan SRJK (C) Kung Ming Tawau, di sini, malam tadi.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat menggunakan peluang pada PRU15 ini memilih calon yang diketengahkan GRS-BN bagi membawa suara mereka di Parlimen.