JOHOR BAHRU, 16 Nov – Datuk Seri Anwar Ibrahim dicabar mengemukakan bukti berhubung dakwaannya pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memulakan rundingan untuk membentuk gabungan bagi mendirikan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan merangkap Presiden PKR itu gemar membuat pelbagai dakwaan untuk mempengaruhi sentimen pengundi yang dilihat mula menyokong PN.

“Apa bukti (PN dan BN berpakat). ‘You don’t just make allegation without basis’. PN kini bertanding secara nyata melawan BN. Kita menyerang antara parti, jadi apa bukti dakwaan Anwar itu. Anwar suka buat dakwaan sama macam Rafizi (Ramli – Timbalan Presiden PKR).

“Tuduhan ini tidak lain untuk pengaruhi pengundi PN kononnya berpakat-pakat dengan BN padahal ia tidak berlaku pun. Jadi saya nak tanya Anwar Ibrahim apa buktinya. Saya cabar dia buktikan dan tolong jawab,” katanya pada sidang media selepas program sembang santai bersama penduduk Taman Sri Stulang, pada Selasa.

Media hari ini melaporkan, Anwar mendakwa pemimpin BN dan PN sudah memulakan rundingan untuk membentuk gabungan bagi mendirikan kerajaan selepas PRU15.

Anwar dilaporkan mendakwa, kedua-dua gabungan parti itu membuat rancangan berkenaan, selepas masing-masing dikatakan ketinggalan dalam persaingan PRu15, ketika hari mengundi berbaki empat hari lagi.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU dan calon PN bagi Parlimen Pagoh turut mencabar Anwar untuk menunjukkan penyata kewangan partinya, selepas menuduh PN sebagai parti politik terkaya ketika ini.

“Apa bukti (PN parti politik terkaya). Kalau nak tunjuk akaun bank antara PH dan PN, saya boleh tunjukkan. Boleh tak Anwar tunjuk berapa akaun PH. Saya tahu sebenarnya. PN adalah parti baharu yang tak ada banyak sumber dan kita bergantung pada mereka yang ingin membantu.

“Jadi saya cabar Anwar, jika dia tak dapat buktikan, dia adalah pembohong besar. Jadi buat apa nak percaya pada pembohong besar ini,” katanya.

Anwar dilaporkan mendakwa PN menjadi parti politik paling kaya ketika ini susulan banyak memperoleh projek bernilai berbilion ringgit ketika tempoh pandemik COVID-19.