MARAN, 16 Nov – Peluang Perikatan Nasional (PN) untuk menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sentul cerah apabila gelombang penerimaan rakyat menyokong dan memilih parti itu semakin terasa sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Calon PN bagi DUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin berkata, dalam setiap siri jelajah sepanjang kempen pilihan raya umum (PRU) ini, sambutan rakyat kepada PN di Kuala Sentul cukup baik, memberangsangkan dan boleh dikatakan di luar jangkaan.

“Apabila kita bertemu pengundi, mereka menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada PN.

“Jika perkara berterusan sehingga hari pengundian, 19 November ini, insya-Allah kita boleh menang di DUN Kuala Sentul,” katanya ketika ditemui di Kuala Sentul, Maran.

Jasri berkata, ketika bertemu penduduk, pelbagai rungutan dinyatakan antaranya padang di Felda Jengka 3 yang terabai seperti langsung tidak dijaga.

Katanya, terdapat juga isu membabitkan perumahan generasi kedua Felda yang terbengkalai di Felda Jengka 1 sejak PRU-13 lalu.

“Masalah penduduk khususnya generasi kedua Felda adalah perumahan, insya-Allah saya akan fokus kepada isu ini apabila dipilih mewakili rakyat di Kuala Sentul selepas PRU-15 ini,” katanya.

Menurutnya, beliau akan meneruskan siri jelajah ke pusat daerah mengundi (PDM) dan ziarah dari rumah ke rumah pada minggu akhir kempen.

“Apa yang penting pada minggu akhir ini mendekati seramai mungkin pengundi di kawasan tumpuan.

“Sasaran saya untuk bertemu dan bersua muka dengan lebih 80 pengundi dalam kawasan DUN Kuala Sentul ini,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pengundi terutama di DUN Kuala Sentul bahawa, 19 November ini adalah penentuan buat mereka memilih masa depan diri, anak cucu dan generasi muda masa depan.

“Pilihlah guna akal fikiran yang bijak supaya sebuah kerajaan yang bersih dan mementingkan rakyat dapat dibentuk,” katanya.