MUAR, 16 Nov – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersumpah bahawa perbelanjaan kerajaan ketika pandemik Covid-19 melanda negara diurus mengikut dasar perolehan dan peraturan.

“Wallahi, saya boleh bersumpah satu sen pun tak ada duit kerajaan yang saya belanjakan kecuali untuk rakyat dan dibuat ikut peraturan kewangan sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia Cawangan Muar di Bukit Pasir di sini, pada Rabu.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari bahawa PH akan menjalankan siasatan terperinci terhadapnya kerana didakwa membelanjakan RM500 bilion ketika pandemik Covid-19, jika berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

Muhyiddin berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah jika ada mana-mana pihak yang ingin menjalankan siasatan terperinci berhubung perkara itu.

“Saya tidak bimbang kerana semuanya diurus mengikut dasar-dasar perolehan dan cara perbelanjaan di bawah Kementerian Kewangan. Jika ada bukti pergilah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan buatlah laporan polis.

“Bukan buat serkap jarang hingga menimbulkan keraguan, niatnya jahat, fitnah dan saya tak pernah takut sebab saya tahu saya punya pengurusan sejak zaman berzaman tadbir kerajaan,” katanya.

Berhubung dakwaan wujud pergolakan dalam PN susulan kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan baru-baru ini, Muhyiddin berkata, tiada pergolakan berlaku dalam gabungan itu.

“Itu apa yang dilaporkan bahawa kenyataan Takiyuddin tak dipetik secara betul dan tepat malah Takiyuddin sendiri sudah betulkan, saya sudah betulkan, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pun dah betulkan.

“Pendirian kita ialah dalam masa hadapi PRU15, kita bertegas bahawa kita bertanding atas tiket PN dan atas perjuangan PN, saya tak fikir soal gabungan mana, kalau saya kata PN nak bergabung, orang akan kata apa guna sokong PN,” katanya.