JOHOR BAHRU, 16 Nov – Perikatan Nasional (PN) menegaskan gabungan itu bertanding atas kekuatannya sendiri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Sehubungan itu, Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menolak dakwaan yang mengaitkan gabungan itu bergantung nasib dengan gabungan lain termasuk Barisan Nasional (BN).

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU turut enggan memberikan komen kepada andaian jika keputusan PRU15 Sabtu ini tergantung atau tiada mana-mana gabungan berjaya menubuhkan kerajaan.

“Saya tak akan jawab isu ini (keputusan PRU15 tergantung). Sekarang kita tak boleh jawab dan tak boleh buat andaian.

“Saya tidak mahu komen sehingga sesuatu berlaku. Jika ia berlaku, baru kita tahu apa yang patut dilakukan.

“Kalau saya andaikan sekarang, nanti pengundi kata kita dah kalah dan tidak yakin. Namun sebenarnya kita dapat keyakinan apabila berjumpa pengundi dan melihat reaksi mereka terhadap PN. Oleh itu, kita akan `fight on our own single platform’, iaitu PN. Tidak ada kata kita nak berbaik dengan BN mahu pun Pakatan Harapan (PH).

“Saya harap ada gelombang peratusan keluar mengundi ramai dan kalau itu berlaku dan sejumlah besar pengundi terutama Melayu keluar, maka PN ada harapan cerah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program sembang santai bersama penduduk Taman Sri Stulang, pada Selasa.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga calon PN bagi Parlimen Pagoh berkata, PN yakin mampu membentuk kerajaan jika peratusan mengundi Sabtu ini mencapai lebih 90 peratus.

“Undi awal hari ini mencipta sejarah kerana dilaporkan merekodkan 95 peratusan mengundi.

“Saya berharap Sabtu ini pengundi keluar mengundi beramai-ramai. Jika 90 peratus keluar mengundi, PN yakin dapat bentuk kerajaan,” katanya.

Muhyiddin juga melahirkan rasa puas hati dengan pergerakan jentera PN pada PRU15 ini kerana lebih tersusun dan lancar.

“Saya juga terharu dan gembira kerana penerimaan pengundi amat memberangsangkan ketika ditemui, malah mereka menyatakan mahu pilih PN.

“Kita tak jangka kerana sebelum kempen PRU15, keterujaan orang ramai terhadap PN ini tidak nampak, namun kini mereka keluar beramai-ramai nyatakan sokongan dan ia petanda baik.

“Cuma 30 peratus pengundi dikesan masih duduk atas pagar. Sasaran kita dalam beberapa hari ini, kumpulan atas pagar dapat dipujuk dan dirayu untuk sokong PN,” katanya.