TASEK GELUGOR, 16 Nov – Perikatan Nasional (PN) yakin mampu menawan kerusi di Parlimen Tasek Gelugor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Calon PN yang juga Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata hasil kajian sikap yang dilaksanakan oleh jentera parti itu sejak tiga minggu lalu di Tasek Gelugor menunjukkan peningkatan peratusan yang positif terhadap PN berbanding parti lain.

“Meskipun tidak dapat berkongsi dengan lebih terperinci mengenai peratusannya (kajian) kerana melibatkan strategi parti, namun ini adalah satu perkembangan yang baik dan saya harap ia dapat diterjemahkan kepada undi pada hari Sabtu nanti,” katanya dalam sidang akhbar di bilik gerakan PN Tasek Gelugor, di sini hari ini.

Katanya, hasil kajian itu juga mendapati sokongan jitu yang diberikan warga Tasek Gelugor terhadap PN kali ini disebabkan mereka menginginkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali mengemudi negara selepas PRU15.

“Saya rasa bertepatan dengan banyak kajian lain di seluruh negara mendapati Muhyiddin ialah calon Perdana Menteri paling popular.

“Malah, mereka turut menolak sebarang usaha (Datuk Seri) Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim untuk menguasai Putrajaya,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Saiful turut menjelaskan pengundi di Tasek Gelugor faham agenda serta propaganda yang diwujudkan musuh politik PN demi mencapai kepentingan peribadi berbanding membela nasib rakyat teramai.

“Ada dakwaan Anwar dan Ahmad Zahid pernah berbincang beberapa kali untuk menubuhkan kerajaan dan itu memberi kesan kepada pengundi di Tasek Gelugor yang tidak mahu BN membawa PH naik ke Putrajaya.

“Selain itu, pengundi di sini juga menolak taktik kotor (ketika berkempen) dan saya rasa ini strategi lama ‘politik tua’ yang digunakan UMNO dan BN yang menyerang saya secara peribadi dalam beberapa hal yang tidak berasas,” katanya.

Wan Saiful akan merebut kerusi Parlimen Tasek Gelugor dalam persaingan lima penjuru dengan empat lagi calon iaitu Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor (BN); Nik Abdul Razak Nik Md. Ridzuan (PH) serta calon Warisan; Mohamad Akmal Azhar dan Abdul Halim Sher Jung (GTA-Pejuang).