PASIR GUDANG, 16 Nov – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyifatkan sambutan serta sokongan orang ramai terhadap kempen gabungan parti itu di seluruh negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sebagai luar biasa.

Malah, beliau mendakwa, ia juga seolah-olah membayangkan ada gelombang besar daripada rakyat mahu memberi mandat kepada PN untuk membentuk kerajaan pada pilihan raya kali ini.

“Saya sudah pergi (berkempen) ke seluruh negara… Pasir Gudang bukan yang terakhir, dan setiap kawasan yang saya lawati serta tinjau secara dekat, saya mendapati sokongan pengundi di hampir semua negeri yang saya lawati adalah luar biasa.

“Ini adalah satu petanda bahawa PN akan menang pada PRU15. Pada peringkat awal, ramai yang kata PN adalah parti ‘underdog’… apa maknanya, macam orang tidak pandang sangat, pandang remeh, seolah macam budak sekolah.

“Tanggapan serta andaian ini salah kerana pada hari ini, nampak jelas dan nyata bahawa kita sudah melihat kemaraan serta dukungan rakyat yang luar biasa… seolah-olah ada gelombang besar hendak mengangkat PN membentuk kerajaan,” katanya ketika berucap pada Jelajah PN Best di Taman Sierra Perdana, Masai, di sini, malam tadi.

Dianggarkan lebih 2,000 orang menghadiri program itu, malah ada dilihat terpaksa mengikuti ceramah berkenaan dari luar khemah utama yang boleh memuatkan kira-kira 1,500 tetamu.

Turut hadir pada program itu ialah calon PN di kerusi Parlimen Pasir Gudang, Mohamad Farid Abdul Razak; Parlimen Tebrau (Mohamad Isa Mohamad Basir); Parlimen Pulai (Loh Kah Yong); dan Parlimen Johor Bahru (Mohd Mohtaj Yacob).