IPOH, 17 Nov – Parti komponen Perikatan Nasional (PN) hanya mendedahkan penyata akaun menerusi mesyuarat agung masing-masing.

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata pembentangan penyata akaun parti adalah prosedur biasa dan wajib dibentangkan kerana menjadi ketetapan dalam mesyuarat agung.

Beliau yang juga Timbalan Presiden BERSATU terkejut jika Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR tidak membentangkan penyata akaun parti dalam mesyuarat agungnya.

“Saya terkejutlah kalau (penyata) akaun PKR tak didedahkan kepada perhimpunan agung. Memang wajib didedahkan.

“Kalau BERSATU begitu juga PAS wajib membentangkan kita punya akaun parti di dalam perhimpunan agung serta muktamar setiap tahun. Ini wajib.

“Ini bukan perkara sulit yang kita nampak,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran manifesto PN Perak di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas gesaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan penyata akaun parti.

Anwar turut menyatakan kesediaan untuk mendedahkan penyata akaun partinya jika Muhyiddin melakukan perkara sama.

Pengerusi PH itu sebelum ini juga mendakwa PN menjadi parti politik paling kaya ketika ini, berikutan banyak memperoleh projek bernilai berbilion ringgit ketika tempoh pandemik COVID-19.