MACHANG, 17 Nov – Perikatan Nasional (PN) Machang mahu polis melakukan siasatan ke atas calon BN Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berhubung satu kenyataan artikel berkait salah guna kuasa melibatkan tokoh berkenaan bernilai RM2.2 juta sebagaimana dilaporkan oleh sebuah portal giaklian.wordpress.com.

Portal tersebut mendakwa bekas penyandang kerusi Parlimen Machang itu telah menggunakan kedudukannya semasa memegang jawatan Timbalan Menteri Luar Bandar untuk mempengaruhi Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bagi meluluskan projek di atas sebidang tanah persendirian di Bukit Tiu, Machang dipercayai milik isterinya sendiri.

Timbalan Ketua Pemuda PN Machang, Ahmad Firdaus Nawi berkata, berdasarkan penulisan itu terdapat keterangan yang menyatakan bahawa projek ini sememangnya telah diluluskan di peringkat Menteri KKLW pada waktu tersebut.

“Tujuan saya membuat laporan ini adalah supaya pihak polis menyiasat keabsahan status penulisan di dalam laman sesawang terbabit.

“Ia agar dapat menangani kegelisahan rakyat kerana beliau adalah calon bagi Parlimen Machang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang di sini pada Khamis.

Laporan yang dibuat pada jam 12.15 tengah hari itu turut dihadiri oleh 30 wakil PN Machang.