KUALA LUMPUR, 17 Nov – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli perlu memaparkan permohonan maaf secara terbuka serta membayar kos ganti rugi am dan teladan sebanyak RM500,000 bagi membersihkan kembali nama Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan isteri yang tercalar.

Ikmal Hisham yang juga Timbalan Menteri Pertahanan dan calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tanah Merah berkata, ia antara tiga perkara yang dituntut dalam notis menerusi surat tuntutan (LOD) yang dihantar kepada Rafizi, semalam.

Dua lagi perkara ialah memadam pernyataan fitnah ke atas Ikmal Hisham dan isteri serta berhenti menyebarkan dan mengulanginya.

Katanya, Rafizi ‘main kasar’ dengan turut mengheret keluarga dalam kenyataan fitnah terbarunya dan beliau akan meneruskan tindakan sivil di mahkamah jika tuntutan terbabit gagal ditunaikan dalam tempoh tujuh hari.

“Tindakan diambil adalah untuk memelihara nama baik dan sebagai tanggungjawab saya menjaga keselamatan keluarga.

“Berpegang kepada prinsip ‘berani kerana benar, takut kerana salah’, saya bersedia untuk ke mahkamah membersihkan nama daripada fitnah yang tidak bertanggungjawab dibuat oleh Rafizi.

“Jangan sesekali membabitkan anak dan isteri sesiapa pun dalam berpolitik semata-mata ingin meraih undi. Jika keuntungan politik yang beliau cuba raih daripada fitnah, percayalah rakyat bijak menilai berdasarkan kenyataan dan tindakan berani saya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ikmal Hisham berkata, Rafizi berusaha untuk memburukkan pasukan lawan apabila menyedari serta merasai gelombang sokongan kepada PN semakin meningkat.

“Tiada strategi lain yang dapat difikirkan oleh Rafizi dalam tempoh yang kritikal ini melainkan menabur fitnah. Tujuannya didakwa membawa rakyat berhalusinasi bersama beliau membuat andaian bahawa orang lain tidak bersih dan hanya dirinya yang suci murni.

“Rakyat tidak mudah percaya dengan dakyah dangkal sebegini. Satu jari ditunjukkan kepada orang lain, empat jari menghala kepada kamu. Melalui kenyataan media pada 7 Oktober dan terbaru pada 8 November lalu, saya berulang kali nafikan permbabitan dengan proses perolehan Self-Propelled Howitzer (SPH) seperti yang didakwa Rafizi.

“Malah, laporan polis dibuat berkenaan perkara ini pada 7 Oktober lalu. Saya tidak takut untuk membuat laporan kerana sememangnya tidak terbabit perkara itu dan ianya adalah fitnah yang direka untuk memburukkan nama baik serta kredibiliti saya sebagai timbalan menteri semata-mata.

“Sebelum ini, saya berkali-kali menekankan bahawa semua perolehan aset di Kementerian Pertahanan perlu melalui proses kerja yang ketat dan mesti dipersetujui terlebih dulu oleh pihak terakhir iaitu Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

“Tiada sesiapa yang boleh mempengaruhi kebijaksanaan pihak terbabit dalam mendapatkan aset yang terbaik untuk pertahanan negara,” katanya.

Beliau berkata, Rafizi bukan sahaja cuba menidakkan kenyataannya, malah ‘menggelupur’ apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu syarikatnya, Invoke Solutions Sdn Bhd.

“Bukan main marah lagi dia bila SPRM masuk buat siasatan. Sepatutnya Rafizi memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM sekiranya tidak bersalah, bukannya mempersoalkan tindakan siasatan. Kamu yang isytihar harta yang meragukan, tapi bila orang siasat kamu marah pula. Kelakar sungguh.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya mengingatkan semua untuk menolak politik fitnah sebegini dan mari keluar beramai-ramai menunaikan hak (mengundi) pada 19 November. Kepada Rafizi, sudah-sudahlah,” katanya.